KERAJAAN sepatutnya mengadakan sidang khas Parlimen bulan depan bagi menangani situasi gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang disifatkan semakin buruk di negara ini.
Pemimpin Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, semalam Malaysia mencatatkan 1,925 kes baru Covid-19, sekali gus di tempat ke-35 dengan peningkatan kes harian tertinggi Covid-19 di dunia.
“Situasi pandemik Covid-19 di Malaysia nampaknya seperti tidak terkawal.
“Mesyuarat Kabinet terakhir tahun ini yang berlangsung pada hari ini, harus berusaha memperbaiki kesilapan kerajaan dalam memimpin peperangan melawan wabak Covid-19.
“Seharusnya (kerajaan) mengadakan sidang Parlimen khas pada Januari 2021 untuk menangani situasi gelombang ketiga pandemik Covid-19,” katanya.
Kit Siang berkata, sejak enam bulan lalu beliau telah menggesa kerjaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19, namun ia tidak diendahkan.
“Kita telah mengatasi China – di mana wabak ini tercetus – yang mempunyai populasi 40 kali ganda berbanding Malaysia, dalam jumlah terkumpul kes positif Covid-19, pada 16 Disember.
“Kita sekarang berada di tangga ke-74 dalam senarai jumlah terkumpul kes positif Covid-19 tertinggi di dunia, dengan rekod 108,615 kes, sementara China berada di di tangga ke-81 dengan 87,003 kes,” katanya.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, berdasarkan kadar peningkatan kes Covid-19 semasa, Malaysia kemungkinan akan mengambil tempat Myanmar.
“Myanmar kini berada di tangga ke-68 dalam senarai jumlah terkumpul kes positif Covid-19 tertinggi di dunia dan tidak mustahil akan berada di kedudukan antara ke-30 hingga ke-40 dalam masa tiga minggu akan datang.
“Malaysia kini, adalah antara negara terburuk di ASEAN dalam usaha memerangi wabak Covid-19 tewas kepada Thailand, Singapura, Vietnam, Kemboja dan Laos.
“Malah hampir mengatasi Myanmar dan menewaskan Indonesia dalam indeks “jumlah kes per 1 juta penduduk” (Indonesia 2,645 vs Malaysia 3,335),” katanya.
Selain itu, Katanya, Malaysia ketinggalan berbanding belakang Filipina dalam semua aspek – dari jumlah keseluruhan kes Covid-19, kematian Covid-19 hingga indeks “jumlah kes per 1 juta penduduk.
“Malaysia seharusnya menjadi antara yang terbaik dan bukan antara yang terburuk di ASEAN. Apa yang berlaku dengan sistem kesihatan awam di Malaysia?
“Pakar kesihatan meminta supaya strategi yang berbeza diguna pakai dalam usaha memerangi Covid-19 untuk mengelakkan bebanan yang lebih besar terhadap sistem kesihatan awam,” katanya.
Beliau berkata, sepatutnya menjadi agenda utama Kabinet hari ini mengumumkan strategi baru untuk mengendalikan gelombang ketiga pandemik Covid-19 selepas mesyuarat Kabinet tamat, hari ini.
“Dalam konteks ini, amaran oleh mantan setiausaha tetap Kementerian Luar Negeri Singapura, Bilahari Kausikan, di NikKei Asia bahawa “Asia Tenggara mesti bersiap sedia untuk situasi terburuk pada tahun 2021” harus dipandang serius oleh Kabinet.
“Beliau berkata bahawa pandemik Covid-19 telah mendedahkan kegagalan kerajaan Malaysia, Indonesia dan Filipina,” katanya. -Malaysiapost

