PAS bersedia menjadi jambatan dalam mengukuhkan hubungan Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membentuk kerajaan yang lebih kuat dan stabil bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia sering ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan.
“Kalau kita nak menjadi kerajaan yang gagah, dalam pilihan raya akan datang ini perlu ada kerjasama yang mantap antara PAS, Umno dan Bersatu… pengalaman yang lepas kita lihat kerajaan ini tidak stabil kerana jumlahnya kecil.
“Baru-baru ini dalam Belanjawan 2021, kita berjaya dengan undian 111 bagi kerajaan Perikatan Nasional dan 108 pembangkang, berbeza tiga undi… jadi dengan undian itu kerajaan jadi tidak stabil dan menjejaskan keyakinan pelabur,” katanya seperti dilapor BH.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, dalam PN tidak ada satu pun parti yang boleh bergerak sendiri bagi menghadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa tahun depan.
“Saya pernah sebut sebelum ini, ketiga-tiga parti ini iaitu PAS, Umno dan Bersatu secara asasnya tidak ada satu pun yang boleh berdiri sendiri. Jadi disebabkan itu kita mesti merapatkan persefahaman dan mengurangkan pertembungan.
“Setakat ini pertemuan antara sayap parti sedang berjalan dan kita dapat maklumat hubungan itu ada, cuma secara formal dan tidak formal… tapi di semua peringkat hubungan antara PAS dan Umno secara asasnya memang berlaku dan berjalan dengan baik,” katanya. -Malaysiapost

