MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lain bagi mencabar pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said masing-masing sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Selain Dr Mahathir, turut memfailkan saman pemula itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh.
Dalam saman pemula itu, plaintif turut menamakan Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Nizam Mydin Bacha Mydin, masing-masing selaku defendan ketiga dan keempat, lapor Berita Harian.
Melalui saman pemula itu, plaintif menuntut pengisytiharan pelantikan Azhar dan Azalina sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 13 Julai 2020 adalah tidak sah, tidak menepati serta bercanggah dengan Perlembagaan atau Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan.
Plaintif turut meminta selepas pengosongan jawatan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, ahli Dewan Rakyat diberi peluang mencalonkan pilihan masing-masing bagi jawatan itu.
Saman itu turut meminta pengisytiharan kerusi Yang Di-Pertua dan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat sejak 13 Julai 2020 masih kosong. -Malaysiapost

