Muhammad Mustakim Ramli
RAKYAT sedang memerhati kita, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang ‘seolah-olah’ menujukan nasihat itu kepada Setiausaha Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.
Ia susulan Ahli Parlimen Ketereh itu memuat naik ciapan menyatakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak akan sama dengan PRU sebelum ini di mana BN sebagai parti pemerintah menguasai banyak aparatus pentadbiran dan sumber yang cukup, namun tewas.
Jadi kata Annuar, PRU-15 perlu pemikiran baru dan jika BN kekal dengan ‘superiority complex’ dan ego lama ia bakal menemui jalan sukar.
Ahmad Shabery yang turut memuatnaik kenyataan Annuar itu berkata, sejak PRU-14 berlaku 12 Pilihan Raya Kecil (PRK), di mana tujuh darinya BN menang walaupun tanpa kuasa dan tiada sumber serta aparatus.
“Tahun 2018 ada empat PRK. Semua PH (Pakatan Harapan) menang iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson. Tahun 2019 ada lima PRK, empat BN menang dan 1 PH.
“BN menang Cameron Highland, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai. PH menang Sandakan. Tahun 2020. Ada tiga PRK. Semua BN menang. Kimanis, Chini dan Slim.
“Paling klasik di Tanjung Piai lawan PPBM (Bersatu). Menang lebih 15 ribu majoriti. Begitu juga di Semenyih lawan PPBM yang memerintah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, rakyat sangat bijak membuat keputusan dan mengakui sumber dan aparatus ada peranannya tetapi tidak segalanya.
“Banyak lagi faktor yang menentukan kepercayaan mereka kepada kita atau sesiapa. Mungkin yang lepas ada kelemahan kita, namun selepas kita mereka mula buat perbandingan.
“PH hanya kuat dalam tahun pertama mereka memerintah. Itu tahun ‘honeymoon’. Lepas tu rakyat buat perbandingan. Bila kena sumbat lima gol berturut-turut mereka kucar kacir. Rumah tangga PH runtuh.
“Sekarang pun rakyat masih memerhatikan kita. Bukan bagaimana kita gunakan sumber dan aparatus tapi bagaimana kita menjaga amanah untuk berikan yang terbaik untuk mereka. Apa-apa pun boleh berlaku,” katanya. -Malaysiapost

