Covid-19: 1,925 kes baharu, 5 negeri catat tiga digit

0
2

KES Covid-19 di Malaysia mencatatkan 1,925 kes baharu hari ini termasuk 10 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini adalah 108,615 kes dengan kebolehjangkitan pula adalah 21,443 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 747 kes (38.8 peratus) diikuti Kuala Lumpur 360 kes (18.7 peratus) dan Pahang sebanyak 288 kes (15.0 peratus).

Beliau berkata, peningkatan kes di Pahang dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan penjara iaitu Kluster Tembok Mempaga yang melaporkan 282 kes (98 peratus).

“Sebanyak 307 kes (15.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara.

“Ia membabitkan Kluster Tembok Mempaga (282 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), Kluster Tembok Gajah (9 kes), Kluster Tembok (3 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), dan Kluster GK Tawau (1 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain, Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang, negeri lain yang mencatatkan kes baharu Covid-19 adalah Sabah (230), Johor (110), Negeri Sembilan (60), Pulau Pinang (57), Kelantan (31), Perak (17), Melaka (9), Kedah (8), Sarawak (4), Terengganu (2) dan Putrajaya (2).

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 117 kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 55 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah 457 (0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Dua mangsa terbabit adalah lelaki dan wanita berusia 65 dan 68 tahun yang meninggal dunia di Putrajaya dan Kelantan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here