
SEMOGA Umno bukan umpama terlepas dari mulut buaya tetapi masuk ke mulut harimau, kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dalam isu kerjasama politik antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Puad yang sejak akhir-akhir ini lantang ‘membelasah’ Bersatu berkata, Umno adalah parti besar yang bangkit kembali maka wajarlah parti Melayu itu lebih bersifat terbuka.
Bagaimanapun, beliau berkata, Umno jangan terlalu apologatik hingga takut apa orang lain kata.
“Di zaman media sosial tidak ada yang boleh disembunyikan. Maklumat, percakapan dan kenyataan mudah bocor.
“Jika bukan orang lain bocorkan, orang sendiri akan bocorkan. Bukan rahsia pun 145 Ketua Bahagian Umno menolak bersama PPBM (Bersatu) untuk PRU (Pilihan Raya Umum) ke-15,” katanya.
Beliau mendakwa, Bersatu melihat Umno sebagai ‘rival’ bukan sebagai ‘kawan’.
Katanya, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa mendakwa parti sedang dibawa ke arah perpecahan bukan konsolidasi.
“Annuar tutup mata sebelah. Sebenarnya Umno yang sedang ditikam dan dilemahkan dari belakang.
“Sekarang ini sibuk PPBM membeli dan memujuk Ketua Ketua cawangan Umno untuk menubuhkan cawangan baru PPBM. Kenapa tidak dipujuk ketua PAS, PKR dan PAN (Parti Amanah Negara)?,” soalnya.
Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, pemimpin akar umbi Umno sudah lama sedar bahawa Bersatu menikam Umno dari belakang pada PRU14.
“Yang rancang bubarkan Umno setelah PH (Pakatan Harapan) berkuasa adalah PPBM bukan PKR atau DAP.
“Sekarang mereka tidak boleh haramkan Umno melalui perundangan. Tetapi melayan Umno dengan cara melemahkan Umno dan akhirnya kuburkan Umno,” katanya.
Menurut beliau lagi, dakwaan Annuar bahawa dengan membatalkan dasar ‘No Anwar, No DAP’ akan mengkuburkan Umno hanyalah satu sentimen.
“Hakikatnya lihatlah apa yang berlaku di Larut, di Mersing, di Tanah Merah dan di tempat tempat MP (Ahli Parlimen) lompat. Mana mungkin Annuar Musa tidak nampak itu semua.
“PPBM lebih terdesak dan perlu melemahkan Umno jika PPBM mahu tambah kerusi Parlimen dan DUN di PRU ke-15 akan datang,” katanya. – Malaysiapost
