Hisap vape: Hishamuddin sudah bayar denda

0
3

[Parlimen] Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membayar denda susulan tindakannya menghisap vape atau rokok elektronik ketika persidangan Parlimen, minggu lalu.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Hishamuddin kepada Dewan Rakyat sambil sekali lagi mengakui perbuatan salah tetap merupakan perbuatan salah.

“Saya sudah mengaku salah dan meminta maaf kepada semua pihak,” katanya.

Hishamuddin menyatakan demikian selepas Ahli Parlimen Klang, Wong Shu Qi yang mencelah, membangkitkan perkara itu ketika penggulungan perbahasan Titah Diraja oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Berikutan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon berkata, beliau mengambil maklum permohonan maaf Ahli Parlimen Sembrong itu dan meminta Mohd Redzuan untuk meneruskan perbahasan.

Bermula Januari lalu, mereka yang didapati bersalah merokok di kawasan terlarang, termasuk tempat makan, akan dikenakan kompaun RM250.

Bagi mereka yang gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan, mereka boleh didakwa di mahkamah dan dikenakan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara.