Bekas AG pada asasnya setuju selesai kes Riza Aziz tanpa pendakwaan

0
2

Fitri Nizam

Dewan Rakyat hari ini didedahkan dengan nota bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung surat representasi kes pengubahan wang haram anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz.

Dalam nota bertulisan tangan yang didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, bekas Peguam Negara pada asasnya bersetuju kes Riza dikompaun dan diselesaikan tanpa pendakwaan.

“Satu hari selepas peguam Riza Aziz membuat representasi kepada AG (peguam negara). Pada 19 November 2019, Tommy Thomas telah meneliti surat representasi ini.

“Setelah dia meneliti surat ini, Tommy Thomas sebagai AG telah membuat satu nota tulisan tangan, dakwat berwarna merah di atas surat tersebut, saya baca ini adalah salinan sebenar.

“Surat ini dituju kepada seorang yang bernama Ram, semua orang kenal,” kata Takiyuddin, merujuk kepada ketua pendakwa utama kes berkenaan, Gopal Sri Ram.

Menteri itu kemudian membaca nota tulisan tangan berbahasa Inggeris yang didakwa sebagai salinan asal surat dari Thommy Thomas.

‘Ram, berdasarkan pernyataan di perenggan 5.10, 5.14, 5.15, 5.18 dan 5.19 – bahagian ini penting – Saya sedia mempertimbangkan representasi. Ini dari Tommy Thomas’

‘Perenggan 5.20 menyebut terma atau syarat penyelesaian yang dicadangkan, saya menunggu nasihat kamu’

“Ditandatangani oleh Tommy Thomas, pada 19 November, dengan cap meterai Peguam Negara,” kata Takiyuddin ketika menggulung perbahasan usul titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin berkata, apa yang dibacanya itu ada terkandung dalam surat representasi yang dihantar oleh peguam kepada Riza ke pejabat peguam negara.

“Dengan kata lain Yang Berhormat (YB) sekalian, Paguam Negara pada asasnya telah bersetuju kes Riza Aziz dibenar dikompaunkan dan diselesaikan tanpa melalui pendakwaan. Itu yang penting,” katanya.