PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu kartel daging jelas adalah ‘perbuatan celaka’ dan rakyat Malaysia serta umat Islam tidak wajar memaafkannya.
Ketua Pembangkang itu berkata jelas apa yang berlaku itu membabitkan soal halal di mana kelulusannya dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Ini paling keji dan hina bagaimana darah daging umat itu diceroboh, ini soal halal, bukan isu Kementerian Pertanian (dan Industri Makanan), yang bagi cop halal itu Jakim, jadi harus beranggungjawab.
“Saya fikir rakyat Malaysia dan umat Islam tidak wajar memaafkan kecelakaan dan kesialan ini,” katanya selepas majlis pelancaran buku “100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011” di Shah Alam, hari ini.
Ketika isu berkenaan dibangkitkan di Parlimen awal bulan ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan kes kartel import daging haram yang dikatakan berlaku di Senai, Johor baru-baru ini, sedang dalam proses siasatan.
Media juga melaporkan pada 21 dan 22 Disember bahawa kartel itu dikatakan bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk membawa daging-daging ke dalam negara kononnya sebagai daging yang berstatus halal.
Antara daging yang dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal.
Sabtu lalu, Anwar menyifatkan pendedahan berhubung kartel daging yang didakwa turut didalangi kakitangan agensi kerajaan sebagai ‘kebobrokan’ yang perlu dihentikan.
Dalam pada itu Anwar berkata perlu ada tekad politik untuk memberi jawapan terhadap isu berkenaan selain memberi tumpuan kepada pihak yang mempergunakan agama.
“Harus ada tekad politik untuk memberi jawapan segera dan memumpukan pada orang-orang yang menggunakan agama,” katanya. – Malaysiapost

