SOP lebih ketat jika ingkar SOP – Ismail Sabri

0
2

KERAJAAN mungkin akan menilai kembali prosedur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika rakyat gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika didapati pelanggaran SOP masih berleluasa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi pandangan kepada kerajaan.

“Kalau menyalahgunakan kelonggaran yang sudah diberikan, KKM akan beri pandangan dan nasihat. Kalau KKM merasakan perlu ditarik balik, kita akan ikut nasihat yang diberikan.

“Namun setakat ini belum ada keputusan, jika pelanggaran terus berlaku kemungkinan akan menggunakan SOP yang lebih ketat lagi,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut beliau, setelah kerajaan membenarkan rentas daerah dan negeri, rakyat mengambil peluang pulang ke kampung dan bercuti bersama keluarga.

“Tetapi harus diingat supaya tidak menyalahguna kelonggaran yang diberikan. Sebagai contoh tular video pengunjung yang melihat persembahan di Zoo Melaka, ini jelas menunjukkan penyalahgunaan kelonggaran yang diberikan.

“Selain itu, di Langkawi juga tular baru-baru ini, jadi kita harap orang ramai memberi peringatan kepada sahabat dan diri sendiri supaya terus mematuhi SOP ditetapkan,” ujarnya lagi.

Mengenai pelaksanaan semula sekatan jalan raya (SJR) di kawasan risiko tinggi, Ismail Sabri berkata, keputusan akan diambil selepas menerima nasihat dari KKM.

“Kita setakat ini masih ada perbincangan lanjut, keputusan akan dibuat selepas mendapat nasihat KKM,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here