PKPB di Selangor, KL dilanjut hingga 14 Januari

0
2

Nurul Huda Abhar

SELEPAS sembilan daerah di Selangor menjadi zon merah, kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri itu sehingga 14 Januari 2021.

Sebelum ini PKPB di Selangor membabitkan seluruh negeri kecuali Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan situasi semasa pergerakan kes di Selangor secara kumulatif kini adalah sebanyak 29, 272 kes.

“Bagi tempoh 14 hari ini, Selangor merekodkan 8,194 kes positif baharu dan semua daerah menjadi zon merah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, KKM juga melaporkan situasi pergerakan kes Covid-19 di Kuala Lumpur secara kumulatif sehingga 27 Disember sebanyak 12,494 kes direkodkan.

Katanya, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 ketara di Kuala Lumpur dan wujud beberapa kluster baharu.

“Oleh itu mesyuarat hari ini bersetuju agar PKPB di seluruh Kuala Lumpur dilanjutkan sehingga 14 Januari 2021,” katanya.

PKPB di Selangor dan Kuala Lumpur yang bermula 13 Oktober lalu sepatutnya berakhir pada 31 Disember ini.

Ismail turut mengumumkan PKPB di seluruh Sabah dilanjutkan sehingga 14 Januari 2021 walaupun kes harian Covid-19 di negeri itu semakin menurun.

Sementara itu, Ismail berkata KKM melaporkan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Kelantan.

Katanya, peningkatan tersebut dilaporkan di Madrasah Daril Naim, Padang Halban di Mukim Peringat, Kota Bharu.

“KKM melaksanakan 99 saringan dan 29 disahkan positif manakala 69 sampel lagi masih menunggu keputusan.

“Oleh itu mesyuarat memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Madrasah Daril Naim, Padang Halban bermula esok hingga 11 Januari 2021,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here