KJ jatuh basikal: Bukti pihak berwajib abai keselamatan rakyat

0
2

KESELAMATAN rakyat di atas jalan raya seolah-olah diremehkan segelintir jabatan berwajib meskipun umum mengetahui jumlah kenderaan semakin hari semakin bertambah menggunakan jalan raya.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Perak (DPIP), Mohammad Amirul Saharuddin berkata insiden melibatkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang cedera ketika menunggang basikal bukti soal keselamatan pengguna jalan raya diabaikan.

“Sebaik sahaja Ahli Parlimen Rembau itu menaikan gambar keadaannya di laman sosial dengan serta-merta mendapat perhatian dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat yang memohon maaf di atas kelemahan pengurusan.

“DPIP bukan mahu menyentuh berkenaan pengurusan kerana tidak adil untuk menghukum tanpa selidik kesukaran yang dihadapi jabatan kerajaan. Tetapi yang mengecewakan ialah berkenaan sikap bertindak pantas setelah menerima aduan orang ramai itu yang mahu dititik beratkan.

“Apabila berlaku kecelakaan melibatkan individu penting, mereka ini dengan serta-merta bertindak selepas memohon maaf.

“Tetapi jika aduan dikemukakan oleh rakyat, enam bulan kemudian pun belum tentu dapat diselesaikan. Pada siapakah jabatan perlu fokus memberi khidmat terbaik? Pada rakyat yang majoriti ataupun wakil rakyat yang minoriti?,” katanya menerusi kenyataan.

Mohammad Amirul berkata, perlu difahami wakil rakyat juga berkhidmat kepada rakyat tetapi kenapa aduan rakyat sering mendapat maklum balas lambat dari pihak berwajib.

“Bukan ingin menyalahkan sepenuhnya kepada jabatan kerajaan. Tetapi nasihat yang ingin diutarakan supaya tingkatkan perkhidmatan dan bertindak pantas sebaik sahaja menerima aduan dari rakyat.

“Tindakan pantas permohonan maaf JKR Kuala Langat dan akan bertindak segera atas kemalangan Ahli Parlimen Rembau wajar dipuji tapi dikhuatiri akan menghadirkan perasaan marah rakyat yang telah buat aduan namun tiada sebarang tindakan, adapun tindakan selepas berbulan lamanya.

“Jangan memperjudikan keselamatan dan nyawa rakyat di atas jalan raya. Rakyat adalah denyut nadi bagi sesebuah negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here