Perkukuh NFC untuk hapus daging haram – DPIA

0
3

KERAJAAN perlu memberi fokus kepada usaha memenuhi keperluan daging halal dengan memperkasakan sektor penternakan lembu bagi mengurang kebergantunan kepada sumber daging dari luar negara. 

Isu kartel daging haram berlaku ekoran kekurangan penawaran bekalan daging halal oleh pengeluran untuk keperluan domestik. 

Presiden Dewan Perdagangan & Industri Asean (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, permintaan daging halal di negara tinggi majoriti rakyatnya sekitar 70 peratus adalah beragama Islam. 

Katanya, disebabkan kelemahan dalam penawaran bahan bekalan itu maka ada pihak tidak bertanggungjawab cuba memanipulasi dengan menjadi kartel pengeluaran daging haram. 

“Isu ini ada soal permintaan dan kelemahan penawaran sehingga wujud kartel daging haram,” jelasnya semalam. 

Sohaimi berkata, isu itu boleh diatasi sekiranya kerajaan membangunkan kembali dan memperkemaskan pengurusan Pusat Fidlot Nasional (NFC) sebagai pengeluar daging halal utama negara. 

Jelasnya, NFC adalah antara model bisnes yang terbaik jika ia berfungsi seperti mana perancangannya. 

“Jika NFC berfungsi dengan baik ia mampu mengatasi permintaan di seluruh negara. 

“Ia perlu menjadi hub daging halal bagi melawan dan menghapus kartel daging haram. Kalau ini berjalan dengan betul, lama-lama kartel haram ini mati,” tegasnya. 

Jelasnya, pengeluaran daging halal harus kuat dalam menguasai ekonomi bagi melumpuhkan kartel berkenaan. 

Kata Sohaimi, kerajaan perlu memberi peluang kepada mereka yang berkebolehan dan telus menguruskan NFC agar tidak terjadi kontroversi seperti sebelum ini. 

“Dalam pada itu, perlu perkemaskan saluran pengedaran kepada peniaga agar mereka benar-benar mendapat bekalan. 

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan harus ada mekanisma dan pelan baharu bagi pengurusan NFC ini,” ujar beliau. 

Sementara itu, Sohaimi mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap pihak yang terbabit dengan kartel daging halal. 

Ini katanya termasuk menarik balik lesen halal serta permit import daging syarikat yang berkait dengan kartel halal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here