IKHLAS berjaya tangguhkan perobohan 43 gerai di Puchong Permai

0
3

PERTUBUHAN Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) hari ini berjaya menghalang Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) daripada merobohkan 43 gerai makan di Puchong Permai. 

Ia berhasil setelah perbincangan antara Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah bersama MBSJ dan polis. 

Mohd Ridzuan berkata pihaknya diberi tempoh tujuh hari untuk menangguhkan perobohan 43 gerai penjaja di kawasan berkenaan. 

“Sebelum ini peniaga sudah menghantar memorandum kepada Yang Dipertua MBSJ, tapi tiada jawapan sehingga hari ini. Mereka mengelak jumpa peniaga dan sebagainya. 

“Dalam tempoh tujuh hari ini, sekiranya MBSJ tak nak jumpa juga, mengelak juga, kita akan ramai-ramai buat laporan polis. 

“Sekiranya MBSJ masih enggan membuka pintu rundingan, kita tidak teragak-agak untuk bawa lebih 100 NGO gabungan dari seluruh Malaysia untuk menghalang perobohan itu,” katanya kepada media. 

Terdahulu kira-kira 100 anggota penguatkuasa melibatkan MBSJ, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikerah untuk operasi perobohan gerai-gerai makan itu. 

Operasi bermula jam 8 pagi itu mencetuskan ketegangan antara sekumpulan penjaja yang dengan penguatkuasa untuk menghalang perobohan gerai makan yang diusahakan mereka sejak 20 tahun lalu. 

Turut kelihatan penjaja membawa plakad tertulis pelbagai mesej antaranya ‘MBSJ Sediakan Gerai Bukan Kiosk’, ‘Menteri Besar Selangor Mohon Campur Tangan Isu Ini’, ‘Datuk Bandar Tolong Prihatin Masalah Peniaga Bukan Meroboh’, ‘MBSJ Jangan Bertindak Zalim Semasa Covid-19’ dan ‘MBSJ Tangguh Dulu Perobohan Ibu Tunggal Berniaga’.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penjaja Puchong Permai, Ismail Awang mendakwa penempatan semula peniaga gerai makan yang dicadang MBSJ yang terletak di Dataran Permai tidak sesuai. 

“Cadangan untuk kiosk memang sesuai tapi kawasan ini adalah gerai makan, sekurang-kurangnya saiznya mestilah 15 x 20 kaki untuk dijadikan gerai. 

“Pihak persatuan sudah hantar memorandum sebelum ini, kita harap dapat berbincang dalam masa terdekat, bukan jumpa secara perseorangan. 

“Perdana Menteri kata masa Covid-19 ini beri sedikit kelonggaran untuk peniaga-peniaga menjalankan perniagaan, bincang elok-elok, jangan diroboh, kalau diroboh tak selesai masalah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here