
Muhammad Mustakim Ramli
BILANGAN katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) ditambah sebanyak 3,032 unit.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon, berkata jumlah itu menjadikan kapasiti katil di PKRC berkenaan kini sebanyak 6,132 katil.
Beliau berkata, ia adalah langkah proaktif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan kesiapsiagaan hospital sentiasa berada di tahap optimum.
“Bilangan katil akan terus dipertingkatkan mungkin sehingga 10,000 katil mengikut keperluan semasa.
“Peningkatan kapasiti katil fasa kedua melalui pembukaan dewan baru ini diperlukan kerana pertambahan kes positif Covid-19 yang berterusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan MAEPS sebagai PKRC atau MAEPS 2.0 bermula 9 Disember lalu.
Keputusan untuk mengaktifkan PKRC MAEPS 2.0 secara segera ini berikutan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dengan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata skop operasi di MAEPS 2.0 ini adalah membabitkan pesakit Covid-19 kategori satu iaitu tanpa gejala dan kategori dua membabitkan pesakit gejala ringan.- Malaysiapost
