CRISTIANO Ronaldo dan Pep Guardiola menerima Anugerah Globe Soccer di Dubai dan pasangan itu masing-masing dinamakan sebagai pemain dan jurulatih terbaik abad ini.
Penyerang Juventus itu menerima anugerah berkenaan dalam majlis diadakan dekat Armani Hotel semalam, menewaskan pencabar utamanya, Lionel Messi.
Agensi melaporkan, pemain berusia 35 tahun itu yang menang liga domestik di Sepanyol, England dan Itali serta Euro 2016 bersama Portugal, mengakui dia bangga menerima penghormatan berkenaan yang diberikan kepada kepada pemain terbaik antara 2001 hingga 2020.
“Sesuatu yang bagus menang gelaran,” kata Ronaldo yang juga pemenang lima kali Ballon d’Or.
“Bukan mudah menjadi yang terbaik untuk tempoh yang panjang. Saya sangat bangga tapi tanpa pasukan, jurulatih dan kelab yang hebat, ia tidak mungkin berlaku.”
Ronaldo menerusi Twitter juga berkata: “Paling gembira dengan anugerah malam ini! Ketika saya meraikan 20 tahun sebagai pemain bola sepak profesional, Pemain Terbaik Abad ini oleh Globe Soccer adalah penghormatan yang saya terima dengan gembira dan bangga!”
Guardiola diberi penghormatan kerana karier pengurusannya yang menyaksikan dia menang liga di Sepanyol, Jerman dan England selain dua kali menang Liga Juara-Juara. – Malaysiapost

