872 penduduk terlibat PKPD di Perlis

0
3

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar secara pentadbiran di dua kampung di Perlis yang bermula hari ini sehingga 31 Ogos, melibatkan 191 rumah dan 872 penduduk.

Kementerian Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia melibatkan Kampung kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, mengambil kira kes aktif berpunca dari Kluster Sivagangga.

“Pelaksanaan PKPD bersasar secara pentadbiran ini akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, cuma dari segi sekatan jalan raya akan ditambah,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Ismail Sabri berkata, pergerakan keluar masuk penduduk di dua kawasan tersebut dilarang sama sekali kecuali hanya dalam kawasan PKPD.

“Namun mereka bebas keluar membeli barangan dan sebagainya kerana premis makanan di bawah perkhidmatan keperluan asas dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Menurutnya, bekalan makanan dibenarkan masuk ke kedai runcit yang berada di kawasan PKPD itu termasuk restoran tetapi untuk makanan bungkus.

Katanya lagi, semua pejabat kerajaan dan sekolah yang terletak kawasan berkenaan juga ditutup dan jika ada institusi awam atau swasta untuk pendaftaran, turut ditangguh.

“Aktiviti keagamaan sama ada di masjid-masjid serta rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan beroperasi.

“Pihak Kementerian Kesihatan akan membuat ujian swab kepada semua penduduk di kawasan terlibat,” katanya.