Saya serah kepada Allah – Mohd Asri

0
2

Fitri Nizam

Pemilik Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid menyerahkan nasibnya kepada Allah selepas pendedahan aktiviti perjudian dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh, mencetuskan reaksi kurang senang sesetengah pihak.

Bagaimanapun, Mohd Asri berkata, sehingga kini dia tidak diganggu atau menerima ancaman daripada pihak tertentu susulan pendedahannya.

Menjelaskan pendedahannya itu, Mohd Asri berkata, dia hanya ingin berkongsi masalah sebenar di kawasan berkenaan, bukan mahu menimbulkan buruk sangka terhadap mana-mana pihak berkuasa.

“Kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan peniaga lain, saya minta maaf. Demi Allah, saya tiada masalah dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak marah sedikitpun.

“Cuma, ada rasa cemburu apabila MBSA kacau kedai saya tetapi tidak ambil tindakan terhadap kedai rokok seludup dan judi hingga mereka dapat beroperasi sehingga jam 3 pagi ketika premis lain sudah ditutup,” katanya.

Penjelasan itu dibuat menerusi siaran langsung (Live) yang disiarkan di FB Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), hari ini yang turut dihadiri ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Mohd Asri berkata, dia amat terkilan apabila melihat premis judi masih terus beroperasi walaupun selepas aduan dibuat kepada polis.

“Saya terkilan kerana sudah membuat aduan ke Bukit Aman menerusi panggilan telefon meminta polis datang dan periksa pusat judi bebas beroperasi di kawasan berkenaan.

“Apabila buat aduan, tutup dua hari kemudian on (beroperasi) balik. Saya pergi pula hantar aduan kepada jabatan integriti tapi tak jalan sebaliknya ada sindiket yang datang jumpa budak saya (pekerja) tanya kenapa mengganggu perniagaan mereka.

“Kiranya, aduan itu dibuat sejak tiga bulan lalu dan keadaan masih sama tetapi tidak sangka pula jadi begini (selepas membuat pendedahan di Facebook),” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Asri meminta orang untuk berhenti mencemuh polis sebaliknya mengajak semua bersama-sama membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan perjudian atau lain-lain aktiviti tidak bermoral.

“Tolong henti kecam polis. Mereka ini permata harapan. Mari sama-sama bantu polis dan saya minta persatuan penduduk serta qariah masjid untuk turut sama memainkan peranan,” katanya.