Pertiga desak Australia hukum tentera bunuh rakyat Afghanistan

0
2

PERTUBUHAN Islam Gabungan Amal (Pertiga) Malaysia mendesak kerajaan Australia menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada anggota tenteranya yang mengaku telah membunuh 39 rakyat Afghanistan

Presidennya, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad berkata, tragedi pembunuhan orang awam yang tidak berdosa itu tidak dapat diterima masyarakat dunia dan permohonan maaf tidak boleh melupuskan kekejaman yang dilakukan.

“Bukan hanya dengan memohon maaf yang dibuat oleh Ketua Angkatan Pertahanan Tentera Australia, Angus Campbell dan tentera yang bersalah dilucut jawatan.

“Pembunuhan warga Afghanistan, yang tidak berlaku di medan perang, bukan sahaja tidak dapat dimaafkan tetapi ia adalah kejahatan terhadap kemanusiaan.

“Rekod memalukan ini turut melibatkan pendedahan bagaimana anggota tentera baharu didakwa sengaja menembak tahanan bagi membuktikan keupayaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 19 November lalu, Ketua Angkatan Pertahanan Tentera Australia, Angus Campbell, telah mengaku wujud bukti kukuh menunjukkan pasukan khasnya membunuh sekurang-kurangnya 39 orang awam warga Afghanistan dan tahanan penjara secara tidak sah.

“Pertiga Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman terhadap saudara seislam di Afghanistan ini.

“Pertiga Malaysia menuntut Australia memberi keadilan kepada para korban dan komited dalam mempertahankan sistem kehakiman dan undang-undang antarabangsa yang baik di negara itu.

“Kerajaan Australia harus mempertimbangkan tindakan termasuk pendakwaan jenayah terhadap mereka yang bertanggungjawab atas jenayah perang, pembayaran segera pampasan kepada mangsa dan keluarga mereka, penghentian penghargaan dan pingat bagi mereka yang terlibat,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here