PKPD di tiga kawasan babitkan Johor dan Negeri Sembilan

0
2

Nilam Oshman

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di lokaliti baharu berkuatkuasa tengah malam ini, iaitu masing-masing dua di Johor dan satu di Negeri Sembilan.

Di Johor, dua lokasi itu membabitkan Pusat Koreksional Johor Bahru dan kuarters kakitangan pusat berkenaan, serta Dewan Arena Segitiga di Taman Desa Sejahtera di Mukim Kota Tinggi.

Di Negeri Sembilan pula, ia membabitkan Penjara Jelebu dan kuarters kakitangan penjara itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat lapan kes positif Covid-19 direkodkan dalam masa lapan hari di Pusat Koreksional Johor Bahru.

“Iaitu bermula 16 sehingga 23 Disember. Kes-kes ini dikesan semasa Orang Kena Tuduh (OKT) hadir bicara mahkamah di daerah lain.

“Terdapat seramai 685 orang dalam kalangan OKT dan kakitangan di PKJ yang terdedah kepada lapan kes positif tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, di Dewan Arena Segitiga, KKM melaporkan terdapat peningkatan jangkitan Covid-19 dikesan dalam kalangan tahanan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi tersebut.

Katanya, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 171 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 125 kes positif Covid-19 telah direkodkan dalam kalangan tahanan di lokap ini.

“Ia bertujuan menempatkan kesemua tahanan yang positif Covid-19 dari Lokap IPD Kota Tinggi bermula esok sehingga 10 Januari ini,” katanya.

Dalam pada itu, di Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu, KKM telah melaksanakan 1,086 ujian saringan dan sebanyak 307 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti itu.

“Ia membabitkan 305 kes di kalangan OKT dan 2 kes Wadar.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD tiga kawasan terbabit bermula esok sehingga 10 Januari ini.

“SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga tidak dibenarkan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here