Tidak ada salahnya BN terima parti lain – Tok Mat

0
3
Datuk Seri Mohamad Hasan

TIDAK ada salahnya Barisan Nasional (BN) menerima parti-parti lain yang berhajat menyertai gabungan itu, kata Datuk Seri Mohamad Hassan.

Menurut Timbalan Pengerusi BN itu, BN perlu mengumpulkan semula kekuatan termasuk daripada parti-parti lain yang mempunyai kelebihan tersendiri selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Kita mesti bersifat inklusif bukannya eksklusif lagi. Maka jika ditanya pandangan peribadi saya, lebih banyak parti bersepakat di bawah payung BN itu lebih baik, kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri, dan kekuatan sedikit-sedikit ini jika dikumpulkan akan menjadi kekuatan yang besar nanti.

“Ini yang perlu kita bina dan lakukan untuk BN bina kekuatan baharu sebab BN dah kalah pada PRU14,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-12 Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) di Nilai, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad berkata sebarang keputusan penyertaan parti baharu dalam BN perlu mendapat konsesus daripada empat parti komponen iaitu Umno, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Dalam pada itu, Mohamad menjelaskan, permohonan Makkal Sakti bertanding atas tiket BN pada PRU-15 nanti wajar dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan BN.

“Makkal Sakti telah lama bersama membantu BN, baik semasa (BN) menjadi kerajaan dan bukan kerajaan lagi. Saya yakin pertimbangan boleh dilakukan oleh jawatankuasa tertinggi BN berkenaan permohonan Makkal Sakti ini,” katanya.

Terdahulu, Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran ketika berucap pada mesyuarat berkenaan, memohon BN memberikan peluang kepada parti itu bertanding pada PRU-15 akan datang.

“Ini harapan kami dan kami sedia bertanding. Jika bukan PRU15, bila lagi,” katanya.

Mesyuarat agung berkenaan yang dihadiri 753 perwakilan dari seluruh negara turut meluluskan tiga resolusi, iaitu menjadi parti komponen BN, bertanding di bawah payung BN pada PRU-15 dan mengenai kesejahteraan masyarakat India di Sabah.

Resolusi itu kemudian diserahkan kepada Mohamad. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here