SEORANG warga emas maut apabila motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Kilometer 62.8 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, A Erriah, 66, meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pemandu kereta yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Kuning, Nor Shafiqah Wagimin, 17, patah tangan, manakala rakannya, operator kilang, Hasni Yatul Sharmiza Shafie, 18, cedera ringan.
“Kereta terbabit dalam perjalanan ke Ipoh. Bagaimanapun, kereta itu hilang kawalan lalu melanggar dan mengheret mangsa hingga ke besi penghadang jalan di kiri jalan,” katanya dalam kenyataan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. -Malaysiapost

