Piawaian produk daging import akan ditambah baik

0
2

“KERAJAAN akan menambah baik piawaian halal terutamanya membabitkan daging dan produk daging yang diimport,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, ia termasuk melihat semula bagaimana negara pengeksport memperoleh pensijilan halal ke atas semua produk yang hendak dieksport ke negara ini.

“Kita kena periksa juga macam mana mereka berurusan.

“Saya akan cuba tengok dari semasa ke semasa dengan pihak halal (Bahagian Pengurusan Halal) JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

“Kita cuba untuk mengemaskinikan dengan lebih mendalam isu-isu seperti ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo Halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Zulkifli berkata, dalam menangani isu kartel daging itu, aspek perundangan juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan mereka yang terbabit dikenakan tindakan yang sewajarnya.

“Apabila menyalahi apa yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan maka salahlah. Itu perlu dilihat dan dibetulkan semula,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna agar merujuk senarai produk yang berdaftar dan status halalnya mengikut negara sumber dalam laman sesawang Jakim.

Zulkifli berkata, pihaknya turut memuat naik maklumat berhubung pengimportan daging di laman sosial Facebook dan Twitter rasmi.

“Ia bagi memberi penjelasan kepada pengguna mengenai proses pengimportan daging,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here