SEORANG lelaki warga Myanmar yang dipercayai menikam kakak iparnya hingga mati dalam kejadian di sebuah pangsapuri di USJ 7 Subang Jaya, semalam, direman sehingga 7 Januari depan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor, berkata mangsa berusia 45 tahun itu yang juga kakak kepada isteri suspek, ditikam pada bahagian belakang badan selepas cuba meleraikan pergaduhan di antara suspek dan isterinya.
Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, suspek berusia 42 tahun itu dipercayai berang selepas isterinya tidak menyediakan makanan mencukupi sebelum bertindak menarik rambut dan menumbuk kepala wanita berkenaan.
“Mangsa cuba membantu namun ditikam pada bahagian belakang oleh suspek yang berada dalam keadaan mabuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amihizam berkata, suspek kemudian cuba melarikan diri namun dapat ditahan di tingkat bawah pangsapuri itu kira-kira jam 8 malam dan kini direman hingga 7 Januari depan bagi membantu siasatan kes itu. -Malaysiapost

