Ahli Blackout keluar, proses penyucian untuk Bersatu – Calon Exco Armada

0
3

Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Nasional) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan peletakan jawatan pemimpin dan ahli Blackout sebagai proses penyucian parti itu dari golongan yang tidak setia kepada perjuangan.
Calon Exco Armada Nasional, Mohd Afiq Nazmi Azharin turut meminta seluruh ahli Bersatu supaya tidak panik dengan pengunduran ahli Blackout itu, kerana tindakan golongan berkenaan memberi banyak manfaat kepada parti.
“Ahli Bersatu perlu melihat situasi terkini pengunduran ahli Blackout sebagai satu hikmah, kerana ia membersihkan parti dari mereka yang tidak setia kepada perjuangan asal parti,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, sejak krisis melibatkan barisan pemimpin Bersatu yang diketuai bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, parti berada dalam keadaan tidak stabil apabila kumpulan Blackout ini seperti menjadi duri dalam daging kepada parti.
Katanya lagi, peletakan jawatan kumpulan itu tidak bermakna parti akan terkubur kerana Majlis Tertinggi Bersatu boleh melantik jawatankuasa penaja baharu untuk mengisi kekosongan berkenaan.
“Selama ini pun kewujudan ahli Blackout dalam Bersatu telah menjejaskan keharmonian parti kerana tindakan mereka menentang arus dan sentiasa menimbulkan suasana tidak selesa dalam parti kita.
“Dengan perginya ahli Blackout dari Bersatu, parti dapat menumpukan usaha mengukuhkan perjuangan dengan berpaksikan kepada mereka yang taat dan setia kepada pucuk pimpinan hari ini,”
Mohd Afiq Nazmi yang juga Ketua Armada Bahagian Hang Tuah Jaya berkata, keseluruhan ahli dari semua peringkat perlu menumpukan kepada pemilihan Bersatu yang bakal berlangsung Sabtu ini, tanpa mempedulikan isu Blackout lagi.
“Kita perlu memberikan tumpuan untuk memperkukuhkan semula Bersatu dengan menanamkan iltizam untuk meneruskan perjuangan sejati parti demi agama, Bumiputera dan negara.
“Usah dipedulikan lagi dengan apa yang dibuat oleh kumpulan Blackout kerana mereka bukan lagi sebahagian daripada ahli Bersatu.
“Sebaliknya, kita perlu fokus kepada usaha untuk melaksanakan pemilihan Armada Nasional pada 15 Ogos ini,” katanya.