Nurul Huda Abhar
TIMBALAN Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse mengecam sekeras-kerasnya tindakan sindiket kartel menyeludup daging murah dari negara yang tidak diiktiraf pensijilan halalnya.
Adun Bukit Batu itu, berkata ia bukan sahaja melibatkan status halal diragui, bahkan dari sudut kebersihan juga tidak terjamin kerana pantauan tidak dilakukan mengikut tatacara ketat yang sepatutnya oleh pihak berkuasa.
“Kawan-kawan saya ramai dikalangan muslim dan kakitangan saya juga ramai muslim. Apa-apa isu melibatkan halal, haram dan kebersihan makanan tersangatlah sensitif dan penting bagi mereka. Terutamanya apabila terkait dengan soal ibadah.
“Saya difahamkan, mengikut kepercayaan agama Islam, ibadah sukar diterima Tuhan jika penganutnya memakan makanan haram atau status halal yang diragui.
“Dalam bab ini, walaupun saya bukan muslim, atas semangat rakyat Malaysia, saya bersolidariti untuk kawan-kawan muslim saya dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan sindiket kartel daging ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau melihat masalah dalam isu ini adalah rasuah yang semakin membarah kerana mengikut laporan dibuat, habuan seperti wang dan seks telah ditawarkan oleh sindiket kartel daging import untuk memastikan aktiviti haram mereka dapat dijalankan dengan bebas.
Wee Tse berkata, kesalahan yang dilakukan sindiket berkenaan dan pegawai kerajaan yang terlibat adalah sangat berat, tidak bertanggungjawab dan mencemarkan nama baik industri halal negara.
“Kegiatan mereka ini tiada beza daripada insiden di negara lain yang memproses beras dan telur palsu. Demi keuntungan maksimum mereka sanggup memberi orang ramai makan makanan yang kotor. Amat menjijikkan sekali.
“Justeru, saya mendesak agar kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Majlis Agama Islam dan lain-lain agensi berwajib agar mengambil tindakan tegas dan sekeras-kerasnya terhadap mereka yang terlibat tanpa mengira agama dan bangsa.
“Kerajaan juga perlu memberi jaminan kepada rakyat supaya isu seperti ini tidak lagi berulang di masa akan datang,” katanya. -Malaysiapost

