‘Grand Coalition’ pembangkang: Formula politik yang pra-matang – AMK

0
2

Ahmad Syukri Che Ab Razab

SAYA melihat perbincangan mengenai ‘Grand Coalition’ atau Gabungan Besar Pembangkang giat diperkatakan sejak akhir-akhir ini oleh sebahagian pemimpin parti-parti Pembangkang.

Tidak terkecuali beberapa orang kepimpinan Pakatan Harapan.

Sebenarnya idea gabungan besar pembangkang ini bukanlah idea baru.

Bahkan praktikalnya sudah lama diamalkan dalam politik Malaysia. Entah mengapa muncul dua tiga sosok politikus yang berbicara seolah-olah merekalah pelopor kepada idea yang ‘maha’ hebat ini.

Mungkin apa yang mereka mahukan ialah PKR, DAP dan Amanah membentuk suatu gabungan baru dengan parti-parti yang lain seperti Pejuang, Warisan, Muda dan lain-lain.

Alasan mereka cukup idealis iaitu dengan gabungan yang besar dan ramai, Pembangkang akan lebih kuat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Secara umumnya, semua pihak boleh memahami idea ini. Kesatuan Pembangkang akan membentuk pertembungan dwi blok yang mencerahkan peluang Pembangkang untuk menang dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Tetapi adalah amat pra-matang jika perbincangan mengenai ‘Grand Coalition’ ini hanya berlegar di sekitar saiz atau nombor.

Kita wajar menekuni sejarah perjuangan panjang politik pembangkang di Malaysia. Bagaimana persefahaman yang rapuh akhirnya menyebabkan hancurnya kesatuan pembangkang.

Tak perlu pergi terlalu jauh, lihat saja sikap kepimpinan PH sewaktu menjadi Kerajaan selama 22 bulan.

Tanpa segan silu ada yang menyebut ‘manifesto bukan kitab suci’ yang menyebabkan rakyat meremehkan keseriusan PH dalam menunaikan janji.

Apa yang pasti individu-individu yang giat mempromosi idea ‘Grand Coalition’ ini gagal membentangkan formula yang jelas.

Bagaimana mereka boleh berbicara soal gabungan besar dalam keadaan Tun Dr Mahathir masih secara terbuka menolak kepimpinan Anwar Ibrahim?.

Bagaimana mereka boleh berbicara tentang gabungan besar dalam keadaan Presiden Warisan secara sinis dan terbuka menggambarkan kepimpinan Anwar Ibrahim sudah tidak relevan?

Jika mereka mengatakan ‘Grand Coalition’ ini akan dibentuk atas persefahaman bersama, tidakkah mereka belajar daripada sikap Tun Dr Mahathir yang banyak kali membelakangkan semangat persepakatan sehingga tumbangnya Kerajaan PH?

Tun Mahathir memberi posisi kepada Azmin Ali dan gerombolannya walaupun PKR tidak pernah mencadangkan nama mereka untuk diangkat sebagai Menteri. Akhirnya merekalah yang mendalangi pengkhianatan terhadap PH.

Selama 22 bulan juga Tun Dr Mahathir terus berdolak dalih mengenai proses transisi kuasa Perdana Menteri.

Sebaik sahaja tumbangnya Kerajaan PH, Tun Mahathir menawarkan diri untuk naik semula sebagai Perdana Menteri kepada sebuah Kerajaan baru yang bukan lagi kerajaan PH, tapi kerajaan yang menggabungkan semua parti.

Lalu apa sebenarnya formula ‘Grand Coalition’ yang dicadangkan mereka ini?

Mereka-mereka yang terlalu obses dengan idea ‘Grand Coalition’ ini cuba membayangkan yang PKR perlu mengalah dan mengetepikan kepentingan parti demi pembentukan sebuah gabungan besar yang baru.

Mungkin kepentingan parti itu termasuk cita-cita untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Adalah teramat salah dan sangat tidak bertanggungjawab jika ada kepimpinan PH yang mengatakan cita-cita untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri itu sebagai kepentingan peribadi PKR.

Walhal perkara ini telah diputuskan secara bersama sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu.

Jika ada pemimpin PH yang merasakan persefahaman ini perlu disemak semula, maka mereka perlu mengemukakan nama lain secara berani dan berterus terang.

Janganlah sekadar membaling batu dan sembunyi tangan. Sebagai anak muda, saya juga tidak taksub atau terlalu obses dengan sosok bernama Anwar Ibrahim.

Tetapi sehingga saat ini, saya merasakan beliau masih satu-satunya pemimpin yang mampu mengangkat kembali Malaysia sebagai negara berkebajikan dan disegani dunia.

Nasihat saya kepada mereka-mereka yang terlalu ghairah dengan idea ‘Grand Coalition’ ini agar segeralah bermuhasabah diri kerana kenyataan-kenyataan yang mereka keluarkan sudah terlalu bernada ‘Tun M’.

Atau mereka-mereka ini sememangnya sudah buta hati selepas disogok dengan jawatan Menteri, Senator dan GLC sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan menjadi Kerajaan.

Penulis adalah Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here