Isu kartel daging: Kerajaan lambat bertidak, dedah dalang kegiatan – Pemuda Amanah

0
2

KERAJAAN didesak mendedahkan dalang sebenar di sebalik kegiatan kartel daging haram dan menghentikan syarikat berkenaan serta-merta.

Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah) Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata, isu itu menimbulkan kegusaran
umat Islam dan ia perlu ditangani kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Umat Islam di Malaysia berasa gusar dan hairan bagaimana kartel ini boleh dibiarkan beroperasi sejak sekian lama iaitu lebih 40 tahun. Kegusaran ini mesti ditangani oleh pihak kerajaan.

“Namun malangnya, sehingga hari ini kerajaan gagal mendedahkan kartel yang terlibat dan lambat bertindak untuk menghalang syarikat ini daripada terus memasarkan daging yang diragui status halalnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, daging yang diragui status halalnya itu diimport daripada negara-negara yang tidak mencapai standard yang ditetapkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Muhyiddin tidak wajar mengambil sikap sambil lewa terhadap kepentingan masyarakat Islam di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, media mendedahkan kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan.

Modus operandi itu antara lain dipercayai tindakan mengupah pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Wang ringgit dan habuan berlibur dikatakan diguna bagi merasuah pegawai terbabit sebagai dorongan melepaskan barangan yang diimport, tanpa mengikut peraturan ke pasaran negara ini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here