KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang masih mengekalkan semua Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tabung Haji (TH) serta Anak-anak Syarikat TH yang dilantik ketika zaman Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, selain itu, banyak dasar dan polisi lama terus dikekalkan, malah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dituntut masih tidak ditubuhkan.
“Bila Pemuda Umno berterusan mendesak, barulah kerajaan hentikan penjualan aset-aset hartanah yang dicadangkan pengurusan untuk dijual pada harga jauh di bawah nilai pasaran,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, itu tidak termasuk kerugian-kerugian apabila aset-aset dan hotel-hotel TH dijual kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd Berhad (UJSB).
“Malah, perabot-perabot hotel-hotel TH dijual lambak pada harga RM10,000.
“Banyak lagi kalau nak disebutkan. Rujuk balik semua status-status saya mengenai TH sejak dua tahun lalu,” katanya.
Sehubungan itu, Pemuda Umno konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan para pendeposit TH dan umat Islam.
“Takkanlah bila saya dan Pemuda Umno bersuara terus nak dituduh kami nak pegang jawatan TH?.
“Pendirian saya secara peribadi sejak awal penubuhan Kerajaan PN, menolak sebarang jawatan termasuk kedudukan di mana-mana GLC selagi saya menjadi Ketua Pemuda Umno Malaysia.
“Ia kerana kerajaan hari ini yang tidak mendapat mandat rakyat sepenuhnya, perlukan kuasa semak dan imbang dan menjadi jurubicara rakyat ‘without fear or favour’,’ katanya.
Sebelum ini, kerajaan menarik balik keputusan menjual anak syarikat TH Plantations Bhd, Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam satu kenyataan bersama berkata, keputusan yang dibuat pada 4 Disember lalu adalah berdasarkan situasi semasa dengan mengambil kira pelbagai faktor. -Malaysiapost

