Fatwa haram pertandingan Ratu Cantik masih diguna pakai

0
2

Nurul Huda Abhar

PERTUBUHAN Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) menegaskan fatwa pengharaman pertandingan Ratu Cantik di Wilayah Persekutuan telah diwartakan pada 8 Februari 1986 dan masih diguna pakai sehingga kini.

Presiden Aswaja, Dr Zamihan Mat Zin berkata, Islam mengharamkan kaum wanita menyertai pertandingan Ratu Cantik kerana ia mendedahkan aurat, mempamerkan bentuk tubuh badan, berlaku ikhtilat antara lelaki dan wanita serta mendatangkan fitnah kepada individu berkenaan.

Malah, beliau menyatakan dalil-dalil tentang hal tersebut amat banyak dan telah diketahui umum.

“Fatwa itu menyebut: “Adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai atau menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantic,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, pernah direkodkan bahawa dua wanita Islam yang didapati menyertai pertandingan Ratu Cantik di Hotel Holiday Villa, Petaling Jaya pada 13 Jun 1997 telah didakwa dan didenda sebanyak RM1,400 atau empat bulan penjara serta dikehendaki berkelakuan baik selama enam bulan.

Terbaharu, pertandingan Ratu Cantik muncul kembali dengan judul “Miss/Mrs Plus Malaysia 2020’s Grand Finale Gala Night” yang akan berlangsung di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur, pada 2 Januari 2021.

Lebih malang apabila sebahagian besar peserta terdiri dalam kalangan wanita muslimah.

Menurut Dr Zamihan, ternyata masih ramai wanita muslimah yang jahil tentang hukum hakam agama sehingga mereka begitu teruja menyertai pertandingan Ratu Cantik tersebut.

“Oleh itu, Aswaja membantah sekeras-kerasnya penganjuran pertandingan ini. Kami menyeru agar peserta muslimah berkenaan menginsafi diri sekaligus membatalkan niat dan perbuatan mereka.

“Usahlah disalah guna nikmat kecantikan yang dikurniakan Allah kepada kita dengan melakukan perkara yang tidak senonoh dan haram. Sebaliknya, nikmat kecantikan perlu disyukuri dengan ibadat bukannya dikotori dengan dosa dan maksiat,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pihaknya menyeru Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) supaya mengambil tindakan tegas ke atas peserta dan penganjur berkenaan kerana tindakan mereka jelas bertentangan dengan Akta Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan.

Tambahnya, kini detik yang sesuai untuk melaksanakan konsep amar makruf nahi munkar dan memartabatkan ajaran Islam di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Ketua Agama bagi Persekutuan.

“Jika kami NGO-NGO Islam bangkit bertindak sendirian bagi membantah penganjuran ini nescaya akan ada suara sumbang yang menuduh kami sebagai kelompok ekstremis agama.

“Walhal perjuangan kami adalah untuk memartabatkan Islam menurut saluran perundangan yang sedia ada,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here