LAZIMNYA, kehidupan seorang pesara kerajaan sebaik bersara tentulah dipenuhi dengan aktiviti makan angin lantaran mempunyai banyak masa terluang disamping baru menerima imbuhan wang persaraan.
Namun berlainan pula yang terjadi kepada seorang guru bersara di Taman Intan, Kluang, Johor.
Pesara guru tersebut lebih suka ‘makan’ jalan di hadapan rumahnya dengan membina tempat meletak kenderaan tanpa kebenaran yang menyusahkan penduduk tempatan.
Dilaporkan, kerja-kerja mengecat garisan jalan tidak dapat dilakukan dengan baik, malahan mewujudkan garisan yang bengkok.
Penduduk tempatan memberitahu China Press, pembinaan haram itu telah berlaku beberapa tahun tetapi tiada individu yang tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Kejadian itu hanya mendapat perhatian apabila kontraktor berdepan masalah ketika mahu mengecat garisan jalan.
Difahamkan, pemilik rumah yang merupakan seorang guru bersara telah membina tempat meletak kenderaan secara haram sehingga ‘memakan’ jalan raya di hadapan rumah.
Ekoran itu, pihak majlis perbandaran telah mengeluarkan notis mengarahkan pemilik rumah merobohkan struktur binaan haram yang menghalang jalan dalam tempoh 72 hari.
Kegagalan pemilik rumah berbuat demikian akan mengundang tindakan meroboh oleh pihak berkuasa tempatan.
Namun, seorang jurutera majlis perbandaran memberitahu, pemilik rumah tidak menghiraukan notis tersebut dan enggan bekerjasama.
Pada masa yang sama, jurutera itu juga kecewa dengan sikap pemilik rumah berkenaan yang mempunyai tabiat menyimpan barang, kemungkinan berpotensi mewujudkan banyak tempat takungan air mengakibatkan kawasan pembiakan nyamuk Aedes. -Malaysiapost

