NASIB lima beranak yang menjadikan kereta Proton Iswara Aeroback sebagai tempat berteduh sejak lapan bulan lalu akhirnya terbela.
Kedaifan S Ganesh dan Parameswari dilaporkan media tempatan meraih simpati Pendakwah Bebas, Ebit Lew yang tampil menghulurkan bantuan segera kepada keluarga terbabit.
Menurut Ebit, nasib yang menimpa keluarga Ganesh amat memilukan apabila menjadikan kereta sebagai tempat tinggal sejak lapan bulan lalu kerana rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran pada April lalu.
Lebih menyayat hati apabila anak bongsu pasangan itu yang kini berusia lapan bulan sama sekali tidak pernah merasai ‘berteduh’ di dalam rumah.
“Cuti umum Krismas dari JB (Johor Bahru) terus saya ke Penang (Pulau Pinang).
“Menangis sebak semalam masa di JB terbaca pasal Ganesh dan isteri Parameswari serta tiga anak kecil tidur lapan bulan dalam kereta.
“Sedihnya 8 bulan makan tidur dalam kereta, mandi di tandas awam, kerja guard (pengawal keselamatan) malam bawa keluarga tidur dalam kereta,” luahnya di Facebook.
Ebit berkata, beliau menyewakan sebuah rumah yang mempunyai tiga bilik untuk keluarga terbabit sementara menunggu permohonan mereka untuk mendapatkan rumah menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diluluskan.
Bagaimanapun, Ebit yang terkenal dengan sifat dermawannya itu berkata, beliau akan terus bayarkan rumah sewa terbabit sekiranya keluarga terbabit mahu terus tinggal di rumah berkenaan.
“Saya hadiahkan peti ais, mesin basuh, televisyen, periuk nasi, dapur, kipas, katil, barang dapur dan duit belanja,” katanya.
Beliau berkata, pasangan itu juga tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kerana mengambil berat terhadap nasib mereka. -Malaysiapost

