Dedah nama syarikat terbabit isu kartel daging

0
1

Nurul Huda Abhar

PENDEDAHAN isu kartel yang mendalangi aktiviti penyeludupan daging murah dengan persijilan halal yang tidak diiktiraf Jakim mahupun Jabatan Agama Islam Negeri, mencetus kegusaran umat Islam.

Justeru, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan enam tindakan segera kepada kerajaan bagi membendung isu itu termasuk mengisytiharkan syarikat yang disiasat.

“Mengisytiharkan dan mendedahkan nama-nama syarikat yang sedang disiasat dan disyaki terbabit dengan penipuan sijil dan percampuran daging halal haram.

“Mengambil tindakan serta-merta menarik semula bekalan daging yang telah memasuki pasaran dalam tempoh dua minggu ini oleh syarikat-syarikat terbabit melibatkan semua peruncit dan pengedar bagi mengelakkan ianya dijual kepada rakyat dan pengusaha makanan.

“Selain itu, kerajaan perlu menubuhkan satu pasukan khas melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam industri halal bagi mengenalpasti dalang sindiket kartel yang bertanggungjawab dan tindakan tegas diambil tanpa kompromi,” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu menilai kembali kapasiti kakitangan persijilan halal yang jelas tidak selari dengan bebanan dan keluasan cakupan tugas pengawasan sijil halal dalam Malaysia dan di luar negara.

Beliau juga berkongsi maklumat yang diterima Pemuda Umno di mana terdapat kakitangan persijilan halal di peringkat negeri yang masih bertaraf kontrak walaupun telah bekerja selama lapan tahun ke atas.

Menurut beliau, tindakan dari segi penambahan kakitangan pengawal seliaan Halal di Jakim dan di Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri perlu dilakukan segera bagi menampung keperluan mendesak bukan sahaja aspek persijilan Halal Malaysia bahkan pemantauan dan penguatkuasaan.

Jelasnya lagi, kerajaan mesti memperkasa kembali Majlis Halal Malaysia yang diperkenalkan di zaman Kerajaan Barisan Nasional bagi membangunkan industri halal secara komprehensif dan bersepadu.

“Ianya membabitkan sekurang-kurangnya 300 institusi baik agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, negeri-negeri hinggalah kepada swasta yang secara langsung terbabit dalam aspek kawal selia, pensijilan, penguatkuasaan dan pembangunan industri halal negara.

“Bagi Pemuda Umno keenam-enam cadangan di atas wajar diambil tindakan segera oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

“Ia bagi memastikan keyakinan dan kepercayaan bukan sahaja rakyat Malaysia bahkan logo halal Malaysia yang diiktiraf seantero dunia tidak terjejas dan mampu dipertahankan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here