Sorotan 2020: Di sebalik laluan berliku, kerajaan majoriti tipis kekal berkuasa

0
3

Fitri Nizam

KRISIS politik yang melanda negara sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, membuka lembaran baharu kepada landskap politik negara pada tahun 2020.

Gabungan kerjasama Barisan Nasional (BN), Bersatu, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mewujudkan kerajaan baharu iaitu Perikatan Nasional (PN).

PN dibentuk pada 23 Februari 2020 bertujuan membentuk kerajaan dengan majoriti tipis iaitu hanya perbezaan dua kerusi Parlimen namun ia masih bertahan sehingga kini.

Kerjasama politik antara Ahli Parlimen BN, PAS, Bersatu, GPS, STAR, PBS mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 1 Mac 2020 sekali gus mengeluarkan negara daripada kemelut politik dan perlembagaan.

Pada 17 Mei, beberapa pemimpin parti seperti BN, Bersatu, PAS, GPS, PBS dan STAR dengan rasminya menandatangani persetujuan bersama untuk menyokong formasi Perikatan Nasional agar lebih stabil.

Kerajaan PN pada mulanya menampakkan pengukuhannya apabila berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Johor, Kedah, Perak dan Melaka daripada PH tanpa melalui proses Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ia sekali lagi dilihat semakin mengukuh apabila Parti Progresif Sabah (SAPP) mengumumkan menjadi sebahagian daripada PN pada 9 Ogos sekali gus memboleh ia didaftarkan sebagai gabungan politik rasmi melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Presiden parti-parti dalam kerajaan PN hadir mesyuarat penubuhan Majlis Presiden Kerajaan PN baru-baru ini.

Parti yang mendaftar sebagai ahli komponen PN adalah PAS, Bersatu, STAR, Gerakan dan MIC.

Bagaimanapun, MIC kemudian menarik diri apabila Umno dan BN yang merangkumi MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengumumkan untuk tidak menjadi sebahagian daripada gabungan berkenaan.

Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sokongan BN kepada PN hanyalah sokongan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Tindakan itu memberi tamparan hebat kepada gabungan PN dan menggoyahkan kerjasama politik antara Umno dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN), namun MN ketika ini hanyalah kerjasama politik serta belum didaftar sebagai pertubuhan.

PN sekali lagi diuji kebolehupayaannya pada 6 September apabila GPS menyatakan tidak menyertai PN kerana mampu begerak dengan sendiri di Sarawak.

Bagaimanapun, GPS sanggup bekerjasama dengan PN yang memerintah kerajaan pusat pada ketika ini demi rakyat Malaysia.

Pada 23 September, kerjasama politik antara PN dengan Umno diuji sekali lagi apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan memiliki majoriti Ahli Parlimen yang kukuh serta menyokongnya menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong terpaksa ditunda berikutan Al-Sultan Abdullah gering dan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menerima rawatan lanjut.

Dalam pada menunggu majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong dijalankan, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan bahawa ada sebilangan besar Ahli Parlimen Umno memberi sokongan terhadap Anwar untuk menjadi Perdana Menteri dan beliau tidak mampu menghalangnya.

Turut tersebar beberapa nama Ahli Parlimen Umno yang kononnya memberi sokongan kepada Anwar namun seorang demi seorang tampil menafikan, malah sebahagian mereka membuat laporan polis.

Pada 13 Oktober lalu, Anwar diperkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, namun sejam kemudian beliau keluar meninggalkan Pintu 2 Istana Negara.

Anwar kemudiannya membuat pengumuman mendapat lebih 120 sokongan Ahli Parlimen sekali gus mengisytiharkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin tumbang.

“Seperti diumumkan pada sidang media 23 September lalu, saya telah persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dokumen sahih majoriti kukuh dan menyakinkan daripada Ahli Parlimen kepada saya,” katanya.

Sejurus kemudian, Istana Negara mengesahkan Anwar telah mengemukakan jumlah Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau kepada Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan selama 25 minit berkenaan.

Bagaimanapun, tiada senarai nama Ahli-Ahli Dewan Rakyat dibawa untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

Justeru, Al-Sultan Abdullah menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Keutuhan PN sekali lagi diuji ketika pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 (Belanjawan 2020) yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat.

Walaupun Belanjawan 2020 diluluskan di peringkat dasar namun ia mendapat laluan berliku di peringkat jawatankuasa apabila pembangkang ‘mencuba nasib’ keabsahan kerajaan PN dengan mengusulkan undi belah bahagian.

Bagaimanapun, kem pembangkang bagaikan hilang arah apabila Parti Warisan Sabah (Warisan) memboikot Belanjawan 2020 di peringkat jawatankuasa sebagai tanda protes terhadap Anwar yang secara tiba-tiba menukar arahan untuk menyokong Belanjawan itu diperingkat dasar.

Walaupun kerajaan PN masih utuh namun ia sekali lagi diuji apabila 25 Adun Umno Perak tidak menyokong usul undi percaya yang mereka sendiri usulkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disingkirkan.

Walaupun, Umno memutuskan untuk pertahankan kerajaan PN Perak, namun Ahmad Zahid sebelum itu tidak menolak kemungkinan ada jajaran baharu bagi membentuk kerajaan Perak dengan kerjasama PH.

Kemelut Perak itu menyaksikan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Saarani Mohamad dilantik Menteri Besar Perak Ke-14.

Walaupun tahun 2020 masih belum berakhir namun ujian demi ujian telah diharungi kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang sehingga kini masih lagi memegang tampuk pentadbiran negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here