Laporan pesakit paling sunyi kurang tepat – Encik Khaidir

0
2

PESAKIT warga Malaysia yang sedang menjalani rawatan di St Vincent’s Public Hospital, Darlinghurst Sydney di Australia dan digelar media sebagai pesakit paling sunyi, dilaporkan berada dalam keadaan baik.

Kementerian Luar Negeri menerusi kenyataan lewat malam tadi memaklumkan Pegawai Konsulat Malaysia di Sydney telah menziarahi pesakit tersebut, Khaidir Abu Jalil.

Menurut kenyataan itu, keadaan Khaidir dilaporkan semakin pulih dan akan dibenar keluar hospital dalam masa terdekat.

“Encik Khaidir memaklumkan laporan media ke atas beliau tidak tepat memandangkan beliau sentasa berhubung dengan ahli keluarga di Malaysia.

“Belau juga mengakui tidak memaklumkan keadaan beliau kepada Suruhunjaya Tinggi Malaysia di Canberra atau Konsulat Malaysia di Sydney.

“Bagaimanapun, beliau berterima kasih di atas sokongan serta bantuan yang diberikan semua pihak,” katanya.

Menurut Kementerian Luar Negeri, Khaidir telah memohon supaya diberi ruang untuk menjalani proses pemulihan dengan tenang dan tanpa gangguan daripada pihak media buat masa ini.

“Kementerian Luar Negeri prihatin akan keadaan warganegara Malaysia di luar negara dan menasihatkan supaya berhubung dengan Perwakilan Malaysia yang terdekat sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan memerlukan bantuan konsular,” katanya.

Semalam, The Sydney Morning Herald melaporkan Khaidir, 34, digelar pesakit paling sunyi kerana tidak mempunyai seorang pelawat pun sepanjang enam bulan terlantar di hospital.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan pada Julai lalu kerana menghidap penyakit autoimun dengan kadar kesembuhan 50 peratus.

Sepanjang berada di hospital berkenaan, beliau dilaporkan tidak mempunyai kenalan, tidak mempunyai telefon bimbit dan capaian internet, manakala keluarganya berada di Malaysia.

Ditambah pula dengan perkembangan Covid-19 ketika ini yang menghalang keluarga atau kenalan untuk menemaninya di hospital, keadaan difahamkan bertambah teruk buat beliau di sana.

Beliau bagaimanapun menurut laporan berkenaan difahamkan ada berhubung dengan keluarganya di Malaysia dan memaklumkan mengenai keadaan beliau di sana.

Khaidir yang sebelum ini bekerja sebagai jurutera pembuatan difahamkan tiba di negara berkenaan pada Julai tahun lalu dan menjalani kehidupan biasa dan berada dalam keadaan sihat sehingga awal tahun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here