Mudir ditahan cabul dua bekas pelajar

0
2
grafik

KETUA Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat mengesahkan pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kes cabul dua bekas pelajar pondok membabitkan seorang mudir. 

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima di Balai Polis Kuang, Selangor dan Balai Polis Bayan Lepas, Pulau Pinang, kedua-dua mangsa adalah bekas pelajar pondok di Machang, Kelantan. 

“Keterangan daripada mangsa pertama memaklumkan kejadian berlaku pada Mei 2018 sekitar jam 1 pagi selepas selesai menghadiri ceramah di Terengganu. 

“Mangsa bersama enam rakan telah diarah mengikut suspek balik ke rumahnya sebelum mangsa diarah tidur bersama suspek kerana mahu menjalankan rawatan islam terhadap diri mangsa yang mengalami sakit gangguan. 

“Semasa di dalam bilik, suspek meminta mangsa membuka seluar dan kejadian cabul itu berlaku, di mana kes cabul itu telah berulang dua kali di tempat sama selang beberapa hari selepas kejadian pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, berdasarkan keterangan mangsa kedua pula, kejadian berlaku pada November 2018 sekitar jam 11 malam di bilik asrama pondok berkenaan. 

“Suspek mengajak mangsa tidur bersamanya. Suspek kemudian mencabul mangsa dan kejadian itu berulang dua kali di kediaman suspek selepas kejadian pertama. 

“Polis Kelantan telah membuat tangkapan ke atas suspek tersebut untuk tindakan lanjut dan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini. 

“Siasatan akan dijalankan di bawah seksyen 377D Kanun Keseksaan,” katanya. 

Kelmarin, suspek sama yang juga pengetua sekolah menengah agama di Machang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas enam tuduhan mencabul, merogol dan seks oral terhadap pelajarnya sejak dua tahun lalu di sekolah tersebut. 

Tertuduh, 45, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan. 

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menyentuh badan dan merogol kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun di pejabat pengetua di sebuah sekolah agama, di Machang jam 10 pagi, pada 26 Januari 2018. 

Pertuduhan ketiga, didakwa merogol mangsa sama di lokasi sama, jam 10 pagi pada 23 Februari 2019. 

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa dengan maksud seksual menyebabkan mangsa menghisap kemaluannya pada 22 Februari lalu dalam sebuah kereta jenis Honda BRV, antara jam 9.30 malam hingga 11.30 malam di tepi Jalan Machang-Kuala Krai. 

Pertuduhan kelima, didakwa melakukan perbuatan sama di pejabatnya pada jam 10.30 pagi 22 Ogos 2020. 

Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa dengan maksud seksual menyentuh kemaluan mangsa yang ketika itu berusia 16 tahun pada 15 September lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here