Nasib Isa Samad diketahui 3 Februari depan

0
2

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 3 Februari depan bagi keputusan kes bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad yang menghadapi sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta. 

Ia berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB). 

Hakim Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan hari ini. 

Dalam prosiding itu, Mohd Nazlan turut mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua belah pihak. 

Terdahulu, lebih 300 muka surat hujahan bertulis telah diserahkan pasukan pembelaan dan pendakwaan kepada mahkamah. 

Pada 3 September lalu, pihak pembelaan yang mewakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menutup kesnya selepas memanggil enam saksi. 

Pada 16 Jun lalu, Mohd Isa diperintah membela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah setelah pendakwaan berjaya membuktikan setiap unsur penting kesalahan menerima rasuah di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. 

Mohd Isa, 71, berdepan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. Ikhwan Zaidel menerusi Muhammad Zahid Md Arip, bekas pegawai khas politik Moh. Isa, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada RM160 juta. 

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015, lapor Kosmo. 

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama. 

Jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here