Rumah terbakar, 4 beranak ditemui berpelukan

0
3

Empat sekeluarga ditemui berpelukan di dalam bilik air selepas rumah mereka di Jalan Setia Perdana, Bandar Setia Alam terbakar awal pagi tadi.

Pasangan suami isteri dan dua anak mereka itu berada dalam keadaan hampir sesak nafas ketika anggota bomba menjalankan misi memadan dan menyelamat di rumah teres dua tingkat berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.18 pagi dan tiba di lokasi sejauh 18 kilometer itu pada jam 2.37 pagi.

Katanya, sewaktu bomba tiba di lokasi, didapati kebakaran berlaku di tingkat bawah rumah teres dua tingkat dan terdapat mangsa di dalamnya.

“Kita bahagikan kepada dua, satu penyelamatan, satu lagi pemadaman. Pasukan penyelamatan buat pemadaman untuk memasuki ke rumah atas dan mencari mangsa.

“Ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan basah kerana berpeluh dan hanya berdiam diri,” katanya yang memaklumkan keluarga berkenaan kemudian mendapat rawatan di hospital berdekatan.

Empat sekeluarga yang terselamat selepas rumah mereka terbakar di Setia Alam. – Foto Ihsan Bomba Selangor

Operasi membabitkan 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dengan bantuan BBP Kapar dan BBP Sungai Pinang.