Banjir Terengganu makin pulih, jumlah mangsa berkurang

0
2
grafik

JUMLAH mangsa banjir di Terengganu semakin menurun kepada 1, 218 orang berbanding 1,267 individu pada jam 12 tengah malam tadi.

Sehingga jam 8 pagi tadi, terdapat 18 keluarga yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman dan Dungun.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah mangsa dijangka menurun susulan cuaca yang semakin baik dan beberapa lembangan sungai utama menunjukkan trend menurun.

Katanya, jumlah mangsa yang masih berada di PPS Kemaman ialah seramai 766 orang membabitkan 197 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS.

“Di Dungun, jumlah mangsa menurun kepada 452 orang daripada 124 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS,” katanya.

Sementara itu, menurut laporan infobanjir.water.gov.my, hanya sebuah sungai di Terengganu yang melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman yang merekodkan bacaan 4.62 meter.

Manakala dua buah sungai berada di paras waspada iaitu Sungai Dungun di Jambatan Jerangau yang mencatatkan bacaan 11.36 meter dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu ( 11.35 meter). -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here