Dulu menteri PH tak power – Anthony Loke

0
3

“Menteri PH ‘tak power’, datang lobi menteri pun tak guna, semuanya tak boleh,” kata bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengimbau cara pentadbiran semasa Pakatan Harapan (PH).

Ia dinyatakan menerusi satu hantaran di Facebook yang ditujukan kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkaitan isu surat sokongan yang tular di media sosial.

Loke berkata tidak lama selepas anggota Kabinet PH mengangkat sumpah pada 2018, satu taklimat khas diberikan kepada semua anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen PH oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM pada ketika itu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Ia berkenaan tatacara dan “good practices” dalam kerajaan khususnya apa yang boleh dan tak boleh dilakukan atau “do’s and dont’s” sebagai anggota pentadbiran.

“Antara perkara yang dipesan oleh Datuk Seri Shukri kepada semua menteri dan timbalan menteri PH ialah jangan sesekali keluarkan surat sokongan kepada sesiapa, lebih-lebih lagi kepada ahli parti sendiri.

“Bukan sahaja tidak boleh memberikan surat sokongan, malah minit daripada menteri mesti ditulis dengan perkataan umum dan tidak mempengaruhi sebarang keputusan.

“Yang dibenarkan hanya “untuk pertimbangan” atau “sila teliti cadangan tersebut”,” katanya.

Seterusnya Setiausaha Organisasi DAP itu berkata keadaan sekarang lain apabila timbalan menteri pun ‘cukup power’.

“Surat sokongan dijadikan modal kempen pemilihan parti. Pesawat tentera digunakan untuk menghadiri aktiviti parti. Macam-macam boleh. Memang power!

“Hebat menteri dan timbalan menteri sekarang.”

Semalam tular satu video Wan Ahmad Fayhsal berkata beliau akan menggunakan jawatannya dalam kerajaan bagi membantu pemimpin Armada Bersatu.

Dalam video dipercayai ketika berkempen untuk pemilihan parti, Wan Ahmad Fayhsal berkata jawatan disandangnya adalah bagi memudahkan pemimpin akar umbi Armada.

“Jadi kita jumpa Datuk (Seri Dr) Ronald (Kiandee), ini hajat Armada Pahang. Tolong Datuk bantu kami, yang mana ada dana usahawan muda atau Agro Bank, kita buat secara pukal yang mcam itu.

“Dan saya sebagai timbalan menteri, dan insya-Allah ketua Armada nasional akan permudahkan. Bagimana, Saya keluarkan surat sokongan sebagai timbalan menteri, sebagai ketua Armada, dan saya akan buat salinan, kepada Tan Sri Perdana Menteri, untuk perkukuhkan,” katanya

“Itu guna jawatan… jawatan ini diberi untuk permudahkan kalian. Bukan untuk saya seorang, tapi untuk bantu kalian, bantu saya juga. Pertama, undilah saya…,” katanya dalam video berkenaan.