[MAHKAMAH] BEKAS Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad memohon supaya kes mahkamah dihadapinya tidak didengari oleh Hakim Mohd Nazlan Ghazali.
Shahrir menerusi kenyataan berkata, ini kerana Nazlan adalah hakim yang mendengar dan memutuskan kes SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Saya (hari ini) memohon kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap saya untuk dipindah ke Mahkamah Tinggi.
“Tapi kerana permohonan saya itu bakal didengari oleh Hakim Mohd Nazlan Ghazali, iaitu hakim yang mendengar dan memutuskan kes SRC terhadap DS Najib, maka saya buat permohonan supaya Hakim Nazlan tidak mendengar permohonan saya.
“Saya minta Hakim Nazlan di “recuse” atau menarik diri kerana adanya bahaya boleh timbul “bias” atau sangkaan berat sebelah terhadap permohonan saya untuk kes dipindah ke Mahkamah Tinggi,” katanya.
Shahrir seterusnya memaklumkan, oleh kerana pihak Pendakwa Raya ingin membantah permintaan beliau supaya Nazlan menarik diri, bicara permohonannya ditangguhkan kepada 8 Februari 2021.
Pada 20 Januari lalu, Shahrir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan tidak mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib.
Mengikut pertuduhan, Shahrir dikatakan gagal mengisytihar pendapatan itu melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM1 juta pada 27 November 2013.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.
Mahkamah memerintahkan Shahrir membayar wang jaminan RM350,000 bersama seorang penjamin termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Pertuduhan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – Malaysiapost

