Sultan Johor titah siasat keabsahan agama wanita kahwin di India

0
2
KUALA LUMPUR 3 JUNE 2020. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memberi amaran untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta-merta jika perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat negeri ini terus berlaku. Dalam muat naik di akaun Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah, baginda berasa amat kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini. GAMBAR IHSAN FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan agar semua usaha yang perlu, dibuat oleh Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri Johor untuk memastikan keabsahan terkini status wanita dari Johor yang dilapor melangsungkan pernikahan tidak berdasarkan Hukum Syara’ di India.

Usaha tersebut sama ada melalui ahli keluarganya dan menerusi Kedutaan Malaysia di India agar semua pihak dapat memastikan kesahihan berita tersebut dalam tempoh terdekat.

Menerusi kenyataan hari ini, baginda melahirkan rasa dukacita apabila terdapat berita yang bertebaran di media berkaitan wanita bangsa Johor berkenaan.

Titah baginda, memelihara kedudukan agama Islam agar sentiasa terpelihara dan dipandang mulia selari kedudukannya sebagai agama Negeri Johor dalam Perkara 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan adalah keutamaan di negeri itu.

“Sebagai Ketua Agama Islam Negeri Johor, saya sentiasa memastikan kehidupan rakyat Bangsa Johor dan mereka yang berasal dari negeri ini akan dipayungi oleh peruntukan undang-undang yang mana Islam adalah paksi yang menjadi tiang seri kepada kehidupan kita bernegeri.

“Agama Islam perlu berada di tempat yang tinggi dan ketertinggiannya ibarat cahaya yang mencrangi kehidupan umat Islam di negara kita,” titah baginda.

Sementara keabsahan disahkan, Sultan Ibrahim menasihatkan agar semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam menangani berita tersebut.

Baginda bertitah, wanita itu sedang melalui suatu proses penghakiman melalui platform media sedangkan beliau tidak pun setakat ini mengisytiharkan ingin keluar dari Islam.

“Jika kita tergesa-gesa dalam tindakan kita menghukum beliau, maka kita akan membina tembok yang tinggi untuk beliau kembali semula ke negara kita dan menjarakkan lagi jurang antara keluarganya di Malaysia dan beliau di India.

“Saya juga ingin menitipkan nasihat buat wanita yang berasal dari Negeri Johor tersebut bahawa dalam membuat sesuatu keputusan pastikan tindakan anda adalah suatu tindakan yang direstui oleh ibu bapa anda dan tidak melanggar norma norma yang ditetapkan agama Islam kita.

“Saya berkeyakinan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberi semua bantuan yang perlu kepada wanita tersebut bagi mengekalkan akidah wanita ini dalam lingkungan syariat

Islam,” titah baginda.

Sultan Johor bertitah, apa jua berita yang diterima yang berkaitan hubungan sitaturahim sesama umat Islam hendaklah diteliti tanpa berprasangka buruk.

Malah, semua perlu berlapang dada dan bersangka baik serta mengambil tindakan meneliti akan berita tersebut daripada sumber yang pasti dan tepat.

Baginda juga mahu, isu berkaitan perkahwinan warga Malaysia di India yang tular di media sosial baru-baru ini hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan apatah lagi ia melibatkan hubungan antara agama, kaum malahan dua negara.

Baru-baru ini, isu status agama wanita itu, Illi Najwa Saddique timbul selepas dia dilaporkan melangsungkan perkahwinan mengikut acara keagamaan selain Islam di kampung halaman suaminya yang juga ketua pasukan hoki India di Punjab, India.

Sebelum ini, media melaporkan wanita berusia 27 tahun itu berjaya mendapatkan permohonan khas daripada kerajaan Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India untuk terbang ke New Delhi.

Pemain itu, Manpreet Singh Pawar kali pertama bertemu Illi Najwa ketika dia mengetuai satu kejohanan pada 2012.

Menurut laporan itu lagi, pasangan itu dijadualkan berkahwin pada April lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana penularan Covid-19.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaari dilaporkan berkata kerajaan akan memanggil Illi Najwa apabila dia kembali ke Malaysia.

Setakat ini, katanya, pihaknya masih menunggu maklumat rasmi daripada Jabatan Agama Islam Johor berhubung status agama wanita berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here