Nasib Ku Nan diputuskan hari ini

0
2
Foto Kredit: Bernama
Foto Kredit: Bernama

KEPUTUSAN pertuduhan rasuah RM2 juta bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan diketahui hari ini.

Keputusan kes tersebut sepatutnya dibuat pada pada 17 November lalu namun Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan terpaksa menangguhkannya berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 9 November hingga 6 Disember lalu.

Hanya mereka yang mempunyai pas sahaja dibenarkan mengikuti keputusan tersebut.

Tengku Adnan didakwa menggunakan jawatan menterinya untuk menerima wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB).

Wang berkenaan diberi melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB).

Tengku Adnan mempunyai kepentingan di dalam syarikat tersebut, dan syarikat AKSB ada hubungan kerja rasmi dengan Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB).

Tengku Adnan atau Ku Nan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes ini bermula pada 2 Julai tahun lalu dan pihak pendakwaan telah memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.

Antara yang dipanggil termasuk dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Kin Kong.

Pada 14 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tertuduh.

Tengku Adnan memberi keterangan bersumpah dari tempat saksi dan prosiding pembelaannya berlangsung selama dua hari iaitu pada 17 Januari dan 5 Mac lalu.

Pada 30 Jun 2020, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil empat saksi memberi keterangan dalam prosiding yang berlangsung selama empat hari bermula 4 Mac.

Tengku Adnan dipanggil sebagai saksi pembelaan pertama manakala pada 7 Disember lepas, Mahkamah Tinggi melepaskan tanpa membebaskan Tengku Adnan atas pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas dimaklumkan pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan kes terhadap Tengku Adnan setelah terdapat perkembangan baharu berhubung kes itu. – Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here