Muhammad Mustakim Ramli
PENDUDUK Lembah Klang mengalami sekurang-kurangnya 20 kali gangguan bekalan air pada tahun 2020 dan yang terakhir dilaporkan pada 7 Disember lalu.
Berdasarkan kenyataan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum ini, krisis air pada Oktober adalah yang terbesar, membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna meliputi 1,292 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat serta termasuk Kuala Lumpur.

Gangguan bekalan air di tujuh daerah itu disebabkan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor, mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas.
Situasi itu mengusarkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, apabila baginda menzahirkan rasa dukacita dengan keluhan dan nasib rakyat yang bukan sahaja bergelut wabak Covid-19, malah berdepan masalah gangguan bekalan air.
Sultan Selangor mahu supaya masalah air itu tidak dipolitikkan dan diatasi segera kerana ia keperluan asas kehidupan rakyat.
Krisis air juga melihat Ustaz Ebit Lew yang sebelum ini diketahui umum membantu golongan kurang berkemampuan turut ‘turun padang’ menyumbang dua lori tangki air untuk diagih kepada penduduk sekitar Batu Caves pada Oktober dan di Subang pada November lalu.
Presiden Forum Air Malaysia, Saral James Maniam sebelum ini dilaporkan berkata 18 gangguan bekalan air dilaporkan di Lembah Klang sepanjang antara Mac hingga Oktober.
Berdasarkan maklumat dari laman sesawang Air Selangor, hanya dua gangguan berjadual bagi kerja membaiki dan menaik taraf, lima kes akibat pencemaran di pusat agihan atau sumber air, manakala selebihnya berpunca daripada paip pecah.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj susulan terlalu kerap berlaku pencemaran sungai, hingga menyebabkan gangguan bekalan air di negeri berkenaan.

Melihat isu itu bagaikan tiada penghujung, Pensyarah Kanan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yusoff Ishak mencadangkan supaya keupayaan dan kepakaran agensi berkaitan pencemaran sumber air dipertingkat, sejajar perkembangan teknologi semasa.
“Kes pencemaran mengambil masa terlampau lama untuk dibawa ke mahkamah, begitu juga perbicaraan sebelum sebarang keputusan dapat dicapai.
“Selain faktor bahan cemar yang semakin banyak dan terbaharu, teknologi serta sains bidang forensik alam sekitar di Malaysia juga jauh ketinggalan berbanding teknologi lain,” katanya seperti dilapor Bernama sebelum ini.
Beliau berkata pihak berkuasa harus memikirkan inisiatif untuk mewujudkan rizab air mentah hingga 20 peratus, membina simpanan air mentah luar sungai dan mewartakan rizab sungai bagi mengelak perkara sama berulang pada masa hadapan.
“Bidang forensik alam sekitar perlu diperkasakan semula. Ia perlu dikemas kini dengan kemudahan makmal dan peralatan terkini dalam mengesan unsur bahan cemar, memandangkan kehadiran pelbagai jenis bahan kimia generasi baharu serta faktor iklim di negara ini yang mendatangkan cabaran kepada agensi.
“Kerjasama serta perkongsian alatan serta kaedah pengenalpastian bahan hasil kajian pakar di universiti boleh membantu pihak agensi,” katanya.
Pada 23 November lalu di Mahkamah Selayang, dua lelaki termasuk pengarah syarikat automotif menjadi individu pertama didakwa melakukan sabotaj dengan mendatangkan kemudaratan kepada perkhidmatan air negara membabitkan pencemaran Sungai Selangor.

R Nathan, 43, dan Lim Kian Aik, 42, mengaku tidak bersalah serta mohon dibicara sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajuddin.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Nathan dan Kian Aik didakwa dengan niat bersama melakukan sabotaj untuk mendatangkan kemudaratan kepada perkhidmatan air di Selangor di premis No 32, Jalan Velox 2, Taman Velox di Rawang, antara 2 dan 10 November lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.
Ini kerana Seksyen 124K Kanun Keseksaan disenaraikan di bawah Bab 6 Kanun Keseksaan yang menggunakan prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) seperti diperuntukkan di bawah jadual pertama Akta 747 SOSMA.
Kes itu membabitkan kesalahan terhadap keselamatan negara dan perlu mengguna pakai prosedur SOSMA yang mana kes akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Belanjawan Selangor 2021 menyaksikan kerajaan negeri memperuntukkan RM200 juta bagi melaksanakan empat projek khusus untuk mengatasi insiden pencemaran sumber air dengan pelaksanan projek bermula tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Malah, Selangor dilihat serius mengatasi masalah itu apabila Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) (Pindaan) 2020 diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 9 November lalu.
Ia menetapkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta kepada pihak yang didapati bersalah mencemar sumber air di negeri itu.
Pindaan RUU itu turut meluluskan hukuman penjara dijadikan hukuman mandatori kepada pesalah di sambil memperuntukkan hukuman pencemar sumber air perlu membayar kos membersih kesan pencemaran kepada LUAS. – Malaysiapost

