Covid-19: 1,340 kes baharu, 4 kematian direkodkan

0
2
grafik

SEBANYAK 1,340 kes jangkitan Covid-19 direkodkan hari ini dengan tiga daripadanya adalah kes import manakala selebihnya adalah kes tempatan.

Jumlah kes baharu yang direkodkan itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 93,309 kes manakala jumlah kes aktif pula berjumlah 15,563 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah masih mencatatkan kes harian tertinggi berbanding negeri lain.

“Selangor melaporkan kes tertinggi iaitu sebanyak 441 kes (32.9 peratus) diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 284 kes (21.2 peratus) dan Sabah melaporkan sebanyak 196 kes (14.6 peratus).

“Selain itu, Negeri Sembilan (169), Johor (156), Pulau Pinang (30), Labuan (27), Pahang (12), Perak (10), Kedah (6), Sarawak (3), Terengganu (2), Putrajaya (2), Melaka (1) dan Kelantan (1),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 134 kes (10 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen.

“Ia membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (58 kes), Kluster Tembok Gajah (56 kes), Kluster Tembok (10 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (8 kes) dan Kluster Penjara Kepayan (2 kes),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini terdapat 116 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 437 kes (0.47 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Kematian yang direkodkan adalah membabitkan tiga lelaki warganegara di Hospital Sungai Buloh, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Tawau yang berusia antara 63 hingga 78 tahun.

Seorang lagi mangsa adalah lelaki bukan warganegara Malaysia berusia 77 tahun yang meninggal dunia sebelum jenazahnya dibawa ke Hospital Dunchess of Kent, Sandakan, Sabah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here