MENEBANG balak bukan satu-satunya kaedah untuk menambah pendapatan kerajaan negeri, sebaliknya ia menjejaskan sumber asli dan habitat hidupan liar, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah
Katanya, banyak kaedah lain boleh dilakukan yang dapat menjamin hutan simpan terpelihara dengan baik.
“Kerajaan negeri digalak tidak payahlah tebang balak, tapi guna hutan itu dengan pelbagai cara lain untuk menambah pendapatan.
“Di Lenggong, Hutan Lipur Lata Kekabu misalnya, kita beri peruntukan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) untuk membangunkannya menjadi kawasan pelancongan agro.
“Ia bagi menarik kunjungan orang ramai seperti Langkawi,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Shamsul Anuar menyarankan supaya hutan simpan dijaga dan dipelihara dengan baik, lebih-lebih lagi kawasan seperti Lenggong yang kaya keindahan alam semula jadi dan berpotensi menarik kunjungan pelancong.
Katanya, tarikan di Lembah Lenggong yang diiktiraf Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO akan bertambah apabila ‘Georpark’ Kebangsaan dibina pada Julai tahun depan dan akan menjadi seperti Georpark Global seperti Langkawi pada 2025, sekali gus perlu dijaga keasliannya.
Justeru, beliau sama sekali tidak mahu aktiviti pembalakan dilakukan di hutan simpan di Lenggong, termasuk Hutan Simpan Piah, lebih-lebih lagi membabitkan kawasan tadahan air.
Mengenai cadangan pembalakan di Hutan Simpan Piah yang membabitkan beberapa kampung di seberang Sungai Perak, khususnya kawasan tadahan air bagi penduduk Kampung Laut, Shamsul Anuar berkata, beliau sudah mengarahkan JPNP tidak meneruskan cadangan pengambilan balak di kawasan berkenaan.
“Walaupun isu itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, saya boleh memberi beberapa saranan dan berharap aktiviti pembalakan, khususnya di kawasan tadahan air seluas 400 hektar di Hutan Simpan Piah yang menjadi isu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tidak dilakukan.
“Saya sudah minta pengarah JPNP keluarkan surat pembatalan rancangan pembalakan yang dikatakan mahu dibangunkan sebagai ladang hutan seluas 400 hektar itu dan JPNP telah keluarkan. Kalau nak jadikan ladang hutan juga, tukar kawasan lain, jangan ambil balak di Hutan Simpan Piah.
“Saya mahu kawasan Hutan Simpan Piah dijaga dan dipelihara,” katanya menambah, beliau bersama Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan EXCO kerajaan negeri, Razman Zakaria yang semuanya berasal dari Lenggong, yakin isu berkenaan dapat diselesaikan. – Malaysiapost
Foto Kredit: Malay Mail

