Setiap basikal patut pasang loceng, ‘air-horn’

0
1

Nurul Huda Abhar

INDIVIDU yang meminati aktiviti berbasikal harus mempunyai ilmu pengetahuan serta bersiap sedia untuk membuat kayuhan dengan selamat.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud

Ini termasuk ilmu mengenai pakaian sesuai dan basikal yang menepati spesifikasi ditetapkan oleh pihak berkuasa jika melakukan aktiviti kayuhan di jalan raya.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, merujuk kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini, basikal harus mempunyai standard yang betul termasuk lampu hadapan berwarna putih, lampu belakang berwarna merah, dan perlu ada loceng.

“Bab loceng ini ramai penunggang basikal yang ketawakan dan tidak bersetuju. Bagi saya penggunaan loceng dan ‘air-horn’ kita boleh bagi amaran kepada pejalan kaki ataupun penunggang basikal yang lain.

“Amaran perlu diberi ketika mahu memotong laluan. Ini sebenarnya standard yang dipakai seluruh dunia apabila dibunyikan loceng, pejalan kaki boleh tahu di belakangnya ada basikal,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Mengulas mengenai kenyataan yang tidak bersetuju tindakan penunggang basikal yang menggunakan jalan raya sebagai trek, beliau memberitahu ia sebenarnya tidak dapat dielakkan.

Tambah beliau, terkandung dalam Akta Pengangkutan Jalan bahawa basikal adalah dibenarkan untuk menggunakan jalan raya seperti kenderaan-kenderaan yang lain.

“Saya agak pelik ada pihak-pihak yang kata basikal tidak sepatutnya naik (tunggang) atas jalan, dan mahu haramkan basikal naik atas jalan raya.

“Jika tidak naik atas jalan raya, bagaimana basikal itu mahu bergerak satu ke satu tempat yang lain,” ujarnya yang berhajat untuk kembali aktif berbasikal setelah terhenti sejak 2000.

Tengku Ahmad Marwan berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu merangka strategi untuk tingkatkan kesedaran dan pengetahuan para penunggang basikal.

Katanya, selain melaksanakan program kesedaran pihak berkuasa harus menambah lagi pemantauan dan memperkasa kawalan lalu lintas bagi keselamatan pengguna jalan raya termasuk penunggang basikal.

“Saya menyambut baik usaha PDRM yang lebih ke arah usaha mendidik daripada menghukum penunggang basikal semata-mata.

“Tapi bagi penunggang basikal pula, jangan anggap polis tidak akan ambil tindakan dan bertegas. Ini kerana jika segala usaha dan program dijalankan anda masih gagal patuhi peraturan, jangan salahkan pihak berkuasa jika tindakan diambil,” katanya.

Sementara itu, beliau mengakui trend berbasikal di negara ini meningkat setelah golongan selebriti turut beminat untuk menyertai aktiviti kayuhan.

Selain itu, katanya, kewujudan media sosial sebagai platform untuk memuat naik gambar berbasikal menjadikan lebih ramai terpengaruh untuk terlibat dengan aktiviti itu.

“Sebenarnya pengguna jalan raya yang lain juga perlu diberi advokasi bagaimana untuk berkongsi jalan dengan penunggang basikal.

“Pengguna lain kena terima hakikat bahawa penunggang basikal juga ada hak untuk menggunakan jalan raya, walaupun mereka tidak membayar cukai jalan tidak bermakna dia tidak berhak, sama juga dengan pejalan kaki,” ujarnya lagi.

Mengikut statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, merekodkan merekodkan 56 kematian daripada 137 kes kemalangan melibatkan penunggang basikal di negara ini bagi tempoh awal Januari hingga Oktober lalu.

Selain daripada 56 rekod kematian, 18 lagi cedera dan 63 cedera ringan ketika melakukkan aktiviti berbasikal.

Kelmarin, seorang wanita berusia 34 tahun maut apabila basikal ditunggangnya dirempuh lori di jambatan berdekatan Kelab Tasik Putrajaya, Presint 8. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here