JIKA dapat dibuktikan secara saintifik bahawa sesuatu vaksin itu mempunyai mudarat ke atas penerimanya, maka pemerintah tidak boleh memaksa rakyat mengambilnya.
Demikian kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung isu pengambilan vaksin Covid-19 yang hangat diperkatakan ketika ini.
“Jika tidak dapat dibuktikan hal itu (mudaratnya), sebaliknya jika pemerintah dapat membuktikan kepentingan, kebaikan dan keselamatan sesuatu vaksin, maka pemerintah berhak menetapkan rakyat mesti mengambilnya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sebelum ini dilaporkan terdapat gerakan kumpulan tertentu yang menyebarkan proganda negatif berkenaan vaksin Covid-19 menerusi media sosial untuk mempengaruhi fikiran rakyat.
Baru-baru ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah, berkata pandemik Covid-19 berisiko tinggi membawa mudarat kepada orang Islam, justeru pencegahan perlu diambil bagi mengelak ia terus menular dan membahayakan orang lain.
“Seperti kita tahu, tiada lagi undang-undang khusus supaya pengambilan vaksin (bila ada di pasaran) itu jatuh sebagai hukum wajib. Jadi kita kena bergerak dalam rangka undang-undang. Vaksin itu harus, tapi digalakkan atas nasihat Kementerian Kesihatan bahawa ia adalah keperluan, dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.
“Kalau pengambilan atau penggunaan vaksin itu tidak diutamakan, akan wujud kemungkinan hadirnya penyakit lain, yang dibimbangi akan membawa keseriusan atau masalah yang sama seperti Covid-19.
“Jadi apabila ada vaksin, ia akan membanteras perkara itu dari berlaku. Pencegahan itu dituntut dalam agama,” katanya.
Kerajaan menjangka kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 untuk Malaysia diperoleh pada Februari depan. – Malaysiapost

