PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa syukur kerana urusan Istiadat Pengebumian Negara untuk Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah petang tadi lancar.
“Selesai sudah Istiadat Pengebumian Negara Allahyarhamah Tun Hajjah Rahah binti Tan Sri Haji Mohd Noah di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara, petang ini.
Alhamdulillah segala urusan dipermudahkan dan berjalan lancar dalam suasana yang sungguh pilu.
Semoga roh Allahyarhamah Tun Hajjah Rahah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negara, jam 3.30 petang tadi.
Istiadat Pengebumian Negara itu dihadiri lebih 300 ahli keluarga terdekat, pemimpin negara serta orang ramai dan pasukan pengiring keselamatan. – Malaysiapost

