SEORANG wanita maut selepas basikal yang ditunggangnya dirempuh lori di Jambatan Putrajaya berdekatan Kelab Tasik Putrajaya, kira-kira jam 9.40 pagi tadi.
Menurut, Mohd Shukri @ Budiman Hassan yang merupakan saksi utama insiden berkenaan, dia baru pulang dari berjoging dan memandu menghala ke rumahnya di Presint 11.
Katanya, ketika itu, kenderaannya berada di belakang lori tersebut yang dipandu perlahan.
“Tiba-tiba lori berkenaan terbabas dan naik di atas penghadang jalan, dan saya nampak ada benda tergolek.
“Saya bunyikan hon berulang kali supaya lori berkenaan berhenti.
“Bila saya turun, rupanya objek yang saya ingat terjatuh itu adalah basikal,” katanya ketika seperti dilaporkan Berita Harian.
Mohd Shukri berkata, beliau kemudian pergi ke arah mangsa untuk memeriksa nadi dan mendapati wanita berkenaan amat lemah sebelum menghubungi talian kecemasan.
“Ambulans tiba kira-kira 10 minit kemudian dan selepas menjalankan pemeriksaan, pegawai perubatan mengesahkan wanita berkenaan sudah meninggal dunia,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan S Vijaya Rao, berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Buat masa ini siasatan masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya,” katanya. – Malaysiapost


